Kerajaan Zionis Luluskan 800 Rumah Penempatan Haram Yahudi di Timur Baitulmaqdis

Kerajaan Zionis Luluskan 800 Rumah Penempatan Haram Yahudi di Timur Baitulmaqdis
Oleh: Hakimi Salleh


BAITULMAQDIS: Regim Zionis Israel telah meluluskan pelan pembinaan 800 buah unit rumah baharu untuk rakyat regin itu di sebuah penempatan haram yang terletak di timur Baitulmaqdis.

Rancangan ini termasuklah pelan untuk membina 560 buah unit rumah baharu di Ma’ale Adumim, 140 di Ramot dan lebih kurang 100 buah lagi di penempatan Har Homa dan Pisgat Zeev.

Keputusan yang dibuat oleh Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu dan Menteri Pertahanan, Avigdor Lieberman pada Ahad lalu dilihat bakal meningkatkan ketegangan regim dengan penduduk Palestin.

Penempatan haram ini melanggar peraturan antarabangsa dan ia merupakan titik penghalang terbesar bagi usaha damai antara Israel dan Palestin.

Netanyahu juga telah meluluskan pembinaan 600 buah rumah untuk rakyat Palestin di Beit Safafa di selatan Baitul Maqdis yang telah tertangguh sejak sekian lama.

Khalil Tafakji, pengarah Pemetaan dan Sistem Maklumat Geografi di Jabatan Persatuan Pengajian Arab mengatakan 800 buah unit rumah tersebut merupakan sebahagian daripada rancangan besar Israel untuk membina 850,000 buah rumah baru untuk penduduk Yahudi menjelang tahun 2020.

“Perancangan ini sedang dilaksanakan sekarang. Kerajaan Israel hanya memilih waktu yang sesuai untuk mengumumkannya,” ujar Tafakji mewakili pusat penyelidikan yang berpangkalan di timur Jerusalem itu kepada Al-Jazeera.

Tambah beliau lagi, lebih 450 buah rumah rakyat Israel pula sedang memasuki fasa pembinaan di Ramot.

“Ia mengambil masa lebih kurang setahun setengah untuk merangka pelan mana-mana penempatan bagi menjalani proses yang sah di sisi undang-undang. Jadi, untuk rumah-rumah baru ini, mereka boleh mengeluarkan tender dan memulakan pembinaan bila-bila masa sahaja.”

Plan perumahan bagi rakyat Palestin di Beit Safafa, sebuah kawasan kontroversi sejak sekian lama itu, merupakan sebahagian daripada projek yang telah diutarakan sejak sedekad yang lalu oleh Syarikat Pembangunan dan Pelaburan Terhad Palestin (PADICO), namun tidak dapat dilaksanakan kerana masih menunggu keizinan Israel, menurut Tafakji.

Keputusan untuk meluluskan pembinaan rumah baru untuk rakyat Palestin ujarnya hanyalah ‘mainan politik Israel untuk memenangi hati rakyat Palestin’.

Beberapa penempatan Israel, termasuklah Gilo dan Givat Hamatos, telah dibina di atas tanah yang telah dirampas bermula dari Beit Safafa; di sebalik anggaran kira-kira 12,000 rakyat Palestin yang tinggal disitu.

Sejak Perang Arab-Israel pada tahun 1967, Israel telah membina lebih daripada sedozen penempatan Yahudi sahaja yang menempatkanlebih kurang 200,000 buah rumah rakyat Israel di Timur Jerusalem yang telah ditawan selepas peperangan.

Anat Ben Nun, pengarah Pembangunan dan Hubungan Luar di Peace Now, sebuah NGO Israel yang menentang pembinaan penempatan haram, mengatakan jawapan kepada konflik bukanlah pembesaran penempatan tersebut.

“Unit-unit rumah baharu di penempatan ini tidak mengira mangsa yang seterusnya; malah bakal meningkatkan keganasan di kedua belah pihak,” kata Nun.

“Jawapan yang sebenar bagi keganasan adalah dengan menamatkan penjajahan dan memeterai perjanjian yang dipersetujui bersama. Sementara itu, rakyat Israel akan terus menjadi mangsa hasil daripada polisi ekstrim sayap kanan kerajaan.”

Sejak Oktober tahun lepas, penjajahan ke atas negara Palestin telah menyaksikan insiden keganasan terhadap rakyat negara itu, penangkapan beramai-ramai oleh pasukan keselamatan, tembakan jarak dekat dan serbuan oleh tentera regim Zionis.

Sekurang-kurangnya 200 orang rakyat Palestin dan 32 orang rakyat beragama Kristian telah terbunuh sejak 8 bulan yang lalu.

Seorang rakyat Palestin yang merupakan aktivis serta penganjur Grassroots Jerusalem, NGO yang menyokong rakyat Palestin di timur Baitulmaqdis, Amany Khalifa berkata, dia tidak percaya peluasan ini akan mengubah keadaan; pembinaan rumah-rumah baru untuk orang-orang Yahudi di tanah Palestin telah menjadi suatu perkara biasa.

“Ideologi Israel yang utama adalah untuk menjajah dan membina penempatan Yahudi. Mereka sedang cuba untuk menunjukkan kepada kita yang mereka menambahbaik infrastruktur kami dengan membaiki lampu atau jalan raya di sini atau di sana, tetapi realitinya mereka sedang menyekat kapasiti penempatan rakyat Palestin di Baitulmaqdis,” kata Khalifa.

Sejak penjajahan Israel di Baitulmuqaddis Timur, kumpulan hak asasi seperti B’Tselem telah menuduh Israel menghasut majoriti bangsa Yahudi dan menjamin kedaulatannya ke atas bandar tersebut.

Sehingga kini, rakyat Palestin mewakili 40 peratus populasi bandar tersebut.

Rancangan penempatan haram ini telah dilaksanakan melalui beberapa kaedah, termasuklah pembinaan Sempadan Pemisah yang telah dipanggil sebagai “Apartheid Wall” (Tembok Apartheid).

“Ini adalah kebiadaban Israel – mereka melakukan apa sahaja yang mereka mahu tanpa menghiraukan kritikan-kritikan antarabangsa,” kata Khalifa yang berasal dari Baitulmaqdis.

(Sumber asal: http://www.aljazeera.com/news/2016/07/israel-approves-800-settler-homes-east-jerusalem-160704065522794.html)R

Artikel Berkaitan

JOIN THE DISCUSSION

twenty three − = twenty