Syeikh Al-Azhar Lambang Penguasaan Asing Terhadap Dalaman Mesir: Pengalaman Bersama Dr Yahya Ismail.

SYEIKH AL-AZHAR LAMBANG PENGUASAAN ASING TERHADAP DALAMAN MESIR: PENGALAMAN BERSAMA DR YAHYA ISMAIL.


Ramai tertanya-tanya apabila Syeikh Azhar, Dr. Ahmad Tayyib berdiri bersama-sama pembangkang Mesir yang sekular untuk menjatuhkan Morsi dan Ikhwan di Mesir. Kenapa ulama tidak menyebelahi Ikhwan? Mereka yang tidak memahami politik dalaman Mesir dan Politik Dalaman Azhar mungkin terpinga-pinga.

Bagi saya, pengalaman berada di Bumi Mesir selama lebih 10 tahun (1996-2007) dan mengikuti usrah Ikhwan sejak tahun 1997, adalah tidak mustahil dan tidak pelik jika Syeikh Al-Azhar, Dr. Ahmad Tayyib menyokong golongan sekular menentang Morsi aka Ikwan Muslimun.

Saya masih ingat, sekitar tahun 2001, saya sempat belajar Talaqqi kitab Tadrib Ar-Raawi dengan Dr. Yahya Ismail, seorang pakar hadis dan bekas Ketua Jabhah Ulama Al-Azhar, di rumahnya di Muqattam. Pada waktu itu beliau baru sekitar 6 bulan dipecat daripada Universiti Al-Azhar oleh Sayyid Tantawi,  Syeikh Al-Azhar pada waktu itu. Sebab beliau dipecat ialah kerana menggerakkan bangkangan di kalangan pensyarah-pensyarah Al-Azhar memprotes usaha Syeikh Azhar waktu itu untuk menghapuskan matapelajaran Jihad daripada silibus pengajian Al-Azhar. Penghapusan silibus ini selari dengan arahan Amerika melalui Presiden Husni Mubarak. Subjek Al-Jihad dan Al-Qital ini telah dihapuskan daripada IPT milik kerajaan, tetapi akhirnya gagal di Universiti Al-Azhar akibat penentangan Dr. Yahya Ismail dan rakan-rakan Ikhwannya di Universiti Al-Azhar.

Disebabkan beliau tidak lagi bersama Al-Azhar, pada waktu itu saya dan beberapa pensyarah Al-Azhar (Pensyarah Junior) mengambil peluang kelapangan waktu Dr. Yahya untuk talaqqi kitab Tadrib Ar-Raawi. Malangnya, talaqqi tersebut hanya sempat selama 2 bulan dan terhenti apabila perbicaraan Mahkamah Pengurusan berkenaan tuduhan bahawa Dr. Yahya membuat gerakan menjatuhkan Syeikh Al-Azhar. Saya masih ingat beliau berkata: “kalau saya tunggu di Mesir, confirm saya akan dipenjarakan”. Dalam masa seminggu selepas surat panggilan mahkamah sampai kepada beliau, beliau terus melarikan diri ke Qatar.

Institusi Al-Azhar rosak selepas kuasa pentadbirannya dicampuri oleh Presiden Mesir, khususnya bermula di zaman Sayyid Tantawi. Bermula saat itu, fatwa Syeikh Al-Azhar hanya menurut telunjuk Presiden Husni Mubarak.

Sekalipun Syeikh Al-Azhar yang dilantik oleh Presiden sememanganya Ulama Su’, tetapi mereka sebenarnya tidak mampu mempengaruhi Al-Azhar secara keseluruhan. Sememangnya pergolakan ini berterusan antara pensyarah dan Syeikh Al-Azhar.

Jabhah Ulama Al-Azhar adalah kesatuan ulama-ulama yang dipilih perwakilannya daripada kalangan ulama Muktabar Al-Azhar. Ditubuhkan pada tahun 1946, ditutup pada akhir 80an dan dihidupkan kembali pada tahun 1994. Sejak Sayyid Tantawi menduduki takhta Syeikh Al-Azhar tahun 1996, pertembungan mula berlaku antaranya dengan Jabhah Ulama disebabkan banyak fatwa-fatwanya disanggahi oleh pihak Jabhah. Oleh itu, pada tahun 1999, Jabhah Ulama ditutup dan diharamkan melalui keputusan Mahkamah melalui usaha Sayyid Tantawi. Ketua Jabhah terakhir ialah Dr. Yahya Ismail yang saya sebutkan di atas.

Setelah kematian Sayyid Tantawi, tempat beliau diganti oleh Dr. Ahmad Tayyib dengan endorsement Presiden Husni Mubarak. Jadi, tidak hairan jika Syeikh Al-Azhar sekarang menyokomg golongan sekular menjatuhkan Morsi kerana sememanya Syeikh Al-Azhar adalah orang kuat Hosni Mubarak.

– Zaharudin Muhammad.

Tulisan ini adalah tulisan yang sudah lama, diterbitkan pada 04 Julai 2013 oleh Ustaz Zaharudin Muhammad kini sebagai Ahli Jawatankuasa Kerja, Parti Islam SeMalaysia (PAS)

Artikel Berkaitan

JOIN THE DISCUSSION

six + four =