Strategi Lima Lapis Siri VII: Manfaat Pakatan Antarabangsa Mengukuhkan Syariat Islam

STRATEGI LIMA LAPIS SIRI VII: MANFAAT PAKATAN ANTARABANGSA MENGUKUHKAN SYARIAT ISLAM

Oleh: Dr Muhammad Atiullah Bin Othman


Pengamalan dan strategi Rasulullah s.a.w. dalam perjanjian Hudaibiyyah adalah contoh tauladan terbaik dalam hidup bernegara. Perjanjian Hudaibiyyah bukan sahaja merangkumi perjanjian antara Mekah dan Madinah, bahkan blok Mekah dan blok Madinah.

Perjanjian ini menunjukkan bahawa Madinah tidak berseorangan dan Madinah mempunyai Qabilah-qabilah lain yang menyokong. Lebih-lebih lagi, perjanjian Hudaibiyyah adalah selepas perang Ahzab yang menunjukkan Madinah muncul kuasa baru Arab yang dapat menandingi Mekah dan qabilah Quraisy.

Perjanjian Hudaibiyyah mempunyai kontroversi tersendiri terutamanya mengenai kandungan perjanjian. Umar al-Khattab pernah mempersoalkan kewajaran perjanjian ini tetapi nabi Muhammad s.a.w. bertegas kepada kandungan Hudaibiyyah. Perjanjian ini merupakan persepakatan melibatkan kepentingan Mekah dan Madinah dan tidak meleburkan prinsip dan perundangan Islam. Pendek kata, perjanjian Hudaibiyyah adalah selaras Syariat Islam.

Namun, perjanjian ini berakhir apabila qabilah pro-Mekah menyerang dan membunuh qabilah pro-Madinah. Ini menunjukkan blok Mekah membatalkan perjanjian dengan menjadikan blok Madinah sebagai mangsa. Hasilnya, Madinah mengambil tindakan menyerang balas dan serangan mengejut ini digelar ‘Pembukaan Kota Mekah’.

Tamat sahaja pembukaan Kota Mekah, kota Taif pula jadi sasaran. Kota ini adalah blok terpenting Mekah yang merupakan kota terkuat selepas kota Mekah. Serangan terhadap kota Taif tidak berjaya tetapi kota ini memeluk Islam dan menjadi blok Madinah. Peranannya paling ketara adalah ketika perang memerangi golongan Murtad di zaman pemerintahan khalifah Abu Bakr.

Bukan sahaja perjanjian Hudaibiyyah sahaja menjadi mercu tanda perhubungan antarabangsa tetapi surat-surat nabi kepada kuasa-kuasa besar dan negara-negara jiran turut dikirim. Pelbagai riaksi yang Rasulullah s.a.w. terima, ada yang mengirim hadiah menunjukkan setia kawan dan mengiktiraf negara Madinah sebagai kuasa baru Arab. Ada pula menunjukkan permusuhan terutamanya empayar Rom dan empayar Parsi.

Rumusannya, pengajaran dapat dikutip melalui sirah Nabi Muhammad s.a.w. adalah negara Islam menjadi player utama dalam hubungan antarabangsa. Jikalau dikaitkan dengan zaman moden ini, negara-negara Islam hendaklah membuka perhubungan antarabangsa dengan masyarakat antarabangsa. Reaksi perlu ditunjukkan terhadap Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UN), Pertubuhan Negara Islam (OIC), Pakatan Arab, ASEAN dan lain-lain pakatan dan perjanjian antarabangsa.

Negara-negara Islam perlu membuka bicara dengan masyarakat antarabangsa agar dapat mengendurkan tekanan masyarakat antarabangsa dan kuasa besar yang meragui kewujudan Syariat Islam. Paling kurang, perhubungan antarabangsa akan membentuk keselamatan dan kesejahteraan serantau bagi menjamin survival negara Islam.

Sebagai contoh, pengalaman negara Sudan yang melaksanakan Syariat Islam sejak 2011, sentiasa mendapat tentangan daripada Amerika Syarikat. John Garang iaitu pemimpin pemisah Sudan sering menimbulkan kekacauan sehinggalah presiden Omar Bashir disenaraikan sebagai penjenayah perang. Permasalahan ini mengundang tekanan UN.

Rentetan itu, Sudan menghentikan dasar pintu tertutup dan bersedia berkerjasama dengan negara-negara Islam yang lain dan masyarakat antarabangsa. Sudan juga telah menyertai pakatan Arab yang diketuai oleh Arab Saudi. Dengan penyertaan ini, ia mengakhiri tekanan antarabangsa dan Amerika. Malah, rantau ini tidak lagi menerima ancaman.

Sebenarnya, penyertaan antarabangsa dan perjanjian bersama dengan negara sekitar telah diamalkan oleh tokoh-tokoh politik Islam terkemuka seperti Salahuddin al-Ayyubi, Nuruddin al-Zinki, tokoh kesatuan dari Maghribi iaitu Ibnu al-Tasyifin dan Muhammad al-Fatih. Mereka berusaha keras menyatukan negara-negara Islam bersesuaian dengan zamannya.

Walaupun wujud suara-suara populis yang ingin menyatukan umat Islam pernah dikumandangkan tetapi tetap gagal, usaha penyatuan ini sepatutnya berterusan dan selalu diusahakan. Sememangnya, Presiden Jamal Abdul Nasir pernah bersuara menyatukan bangsa Arab. Namun, sikap nasionalis dan sosialis Presiden Jamal yang menjadi penghalang penyatuan ini. Hakikatnya, kalamnya hanyalah populis dan sikapnya yang kejam terhadap Ikhwan Muslimin menunjukkan sikap autokratik tiada nilai kemanusiaan.

Gerakan Islam seluruh dunia hendaklah memikirkan perhubungan antarabangsa dengan positif dan sentiasa menjadikan persepakatan bersama sebagai asas kesejahteraan serantau. Pakar-pakar hubungan serantau dan pengkaji-pengkaji dasar-dasar luar perlu diwujudkan dalam gerakan Islam agar gerakan Islam benar-benar celik dan menjadi player penting dalam hubungan antarabangsa.

Artikel Berkaitan:
1.Strategi Lima Lapis Siri I : Perjuangan Negara Sekular Keras Kepada Sekular Neutral
2.
Strategi Lima Lapis Siri II : Negara Sekular Kepada Negara Islam Berperlembagaan
3.
Strategi Lima Lapis Siri III: Menuju Negara Islam Sepenuhnya
4.
Strategi Lima Lapis Siri IV: Kontroversi Menuju Negara Islam
5.
Strategi Lima Lapis Siri V: Negara Beraja Memperkasakan Syariah Islam
6. Strategi Lima Lapis Siri Vi: Peluang Negara Islam Berperlembagaan Mengukuhkan Syariat Islam

Artikel Berkaitan

JOIN THE DISCUSSION

− one = four