Mendapatkan Kepastian & Penerangan : Kewajipan yang Diabaikan

Mendapatkan Kepastian & Penerangan : Kewajipan yang Diabaikan
Penulis: Wasfi b. Abu Zayd


Mengabaikan kewajipan mendapatkan penjelasan (Al-Tabayyun) serta mencari kepastian (Al-Tathabbut) merupakan antara wabak yang melanda masyarakat dewasa kini.

Kedua-duanya merupakan tuntutan agama yang sering diabaikan umat Islam sehingga menjadi darah daging dalam diri kita kini.

Hakikatnya dua perkara tersebht adalah tuntutan agama yang pasti sebagaimana terkandung dalam firman Allah SWT yang bermaksud:

“Wahai orang-orang yang beriman! Jika seseorang yang fasik datang kepadamu membawa suatu berita, maka telitilah kebenarannya agar kamu tidak mencelakakan suatu kaum kerana kebodohan (kejahilan) yang akhirnya kamu menyesali perbuatanmu itu.” (Surah Al-Hujurat: 6)

Janganlah terus diambil sebarang maklumat secara bulat-bulat, sekalipun orang yang membawa berita itu seorang yang kita percayai.

Berita atau khabar tersebut mestilah juga dirujuk terlebih dahulu dan ditanya kepada pihak yang lain agar kita dapat melihat sudut lain perkhabaran itu; sama ada ditokok tambah mahupun disembunyikan sesuatu.

Malahan perkara tersebut suatu penipuan atau penyelewengan yang akhirnya tersebar.

Seorang lelaki yang dicungkil matanya datang kepada Umar Al-Khattab RA lalu mengadu tentang pelakunya.

Para sahabat RA bersimpati kepada lelaki tersebut; seraya Umar Al-Khattab mengadili kes tersebut dan berkata lihatlah sesiapa yang dicungkil matanya itu, kadangkala ada yang mencungkil sendiri matanya.

Walaupun orang yang menjadi topik perkhabaran itu adalah musuh kita atau berselisih dengan kita; ia tidak boleh menjadi alasan untuk mengabaikan tanggungjawab Al-Tabayyun.

Melaksanakan tuntutan mendapatkan keterangan dan pengesahan ini tidaklah bererti kita tidak mempercayai orang yang mengkhabarkan kita berita itu, tidak juga bererti kita meragui kejujurannya.

Namun ia merupakan kewajipan yang perlu dilaksanakan oleh seseorang hamba sebagai tanda mengabdikan diri kepada Allah SWT dan dapat memberi ketenangan dalam hati kita.

Demikian itu sebagaimana teladan yang kita perolehi dari kisah permintaan Nabi Ibrahim AS yang memohon kepada Allah SWT untuk menunjukkan kepada baginda AS agar ditunjukkan bagaimana Allah SWT menghidupkan orang mati; iaitu suatu perihal yang berkaitan dengan akidah.

Firman Allah SWT di dalam Surah Al-Baqarah : ayat 260:

“Dan (ingatlah) ketika Ibrahim berkata, “Ya Tuhanku, tunjukkan kepadaku bagaimana Engkau menghidupkan orang mati.” Allah berfirman, “Belum percayakah engkau?” Dia (Ibrahim) menjawab, “Aku percaya, tetapi agar hatiku tenang (mantap).”

Berapa kali kita tidak mempercayai orang lain malah bertegas dengan pendapat kita; serta dengan mudah menghukum mereka tanpa keadilan semata-mata kerana pendapat kita tidak sama dengan pendapat mereka; walhal pendapat kita itu jauh sekali dari kebenaran?

Jangan menjadikan sesuatu perkara itu mengubah diri kita daripada menunaikan kewajipan untuk mendapatkan keterangan serta bukti ; khususnya pada zaman yang penuh fitnah dan khabar angin ini.

Di samping itu, janganlah bersikap teragak-agak terhadap perkataan yang tidak kita ketahui pokok pangkalnya.

Laksanakanlah kewajipan kita mengikut lunas syariat dalam mencari keterangan dan pengesahan sesuatu perkara sehinggalah tidak timbul lagi perselisihan yang bercanggah dengan syariat, menyebabkan dosa, mengeruhkan malah memutuskan hubungan sesama kita.

Sesungguhnya, membina hubungan yang baik dalam sesebuah masyarakat dan memelihara ikatan itu merupakan salah satu daripada matlamat Syariat Islamiah yang utama.

Pautan Asal: http://iumsonline.org/ar/3/ltbyn-oltthbt-fryd-mhml/

Artikel Berkaitan

JOIN THE DISCUSSION

− 5 = five