Pengertian Puasa Hati Dan Anggota

PENGERTIAN PUASA HATI DAN ANGGOTA
Penulis : Sheikh Faiz Annubi

Terjemahan :
Siti Farhani bt Ahmad Fuad
Nurhanisah bt Mohd Nor


Puasa mempunyai beberapa peringkat sepertimana yang disebutkan oleh Syeikh Islam Imam Al-Ghazali RHM di dalam kitabnya Al-Ihya’ yang telah membahagikan puasa kepada tiga bahagian; iaitu puasa umum, puasa khusus dan puasa khususul khusus.

Puasa umum ialah menahan perut dan kemaluan.

Puasa khusus pula ialah menahan anggota badan (telinga, mata, lidah, tangan dan kaki) daripada melakukan dosa.

Manakala puasa ‘khususul khusus’ ialah menahan hati dari asyik memikirkan kepentingan dunia.

Puasa hati ini bukan sahaja perlu dilakukan di dalam bulan Ramadan, bahkan perlu juga dilakukan dalam bulan-bulan yang lain kerana sesiapa yang mengharap kebahagiaan di dunia dan akhirat hendaklah dia memelihara nafsu dan hatinya; sebagaimana sabda Rasulullah SAW:

“Peliharalah agama Allah, Allah akan memelihara kamu.”

Selain itu, hati juga mestilah dihindari daripada perkara syirik yang membinasakan, keyakinan yang batil, sangkaan yang buruk dan niat yang tidak baik.

Hal ini bersesuaian dengan hadis daripada Nu’man bin Basyir RA, Rasulullah SaW bersabda:

“Sesungguhnya dalam jasad manusia ada seketul daging, Apabila ia baik maka baiklah keseluruhan jasadnya. Apabila ia buruk maka buruklah keseluruhan jasadnya, ianya adalah hati.”

Imam Al-Ghazali adalah seorang hamba yang dadanya dipenuhi dengan keimanan serta keyakinan.

Begitu juga anggotanya yang menuntut segala kebaikan dan menolak segala kejahatan.

Sesungguhnya hati-hati hamba itu berbeza-beza sepertimana yang disebut dalam Al-Quran Al-Karim; Allah SWT berfirman mengenai hati orang-orang munafik dan orang yang menentang Allah SWT bahawa mereka tergolong dalam kalangan mereka yang celaka:

“Dalam hati mereka adanya penyakit lalu Allah menambahkan lagi penyakit itu kepada mereka.” (Surau Al-Baqarah: Ayat 10)

Allah juga berfirman :

“Mereka (orang-orang yahudi berkata) ‘ hati kami tertutup ‘ tetapi sebenarnya Allah telah melaknat dan menempelak mereka kerana keingkaran mereka, tetapi hanya sedikit sahaja daripada mereka yang beriman.”(Surah Al- Baqarah: Ayat 88)

Mereka inilah yang mempunyai hati yang telah tertutup serapat-rapatnya, mereka tidak dapat menerima nasihat, contoh teladan yang baik, petunjuk mahupun peringatan; sepertimana firman Allah:

“Tidakkah mereka menghayati Al-Quran , atau apakah hati mereka telah terkunci?” (Surah Muhammad : Ayat 24)

Inilah yang dikatakan hati yang mati, sakit, dan telah terkunci rapat.

Berikut adalah doa yang senantiasa dibaca oleh Rasulullah SAW:

“Ya Allah, Tuhan Yang Membolak-balikkan hati manusia, tetapkanlah hatiku dalam agamaMu.”

Allah juga telah menjelaskan lagi mengenai hati orang-orang yang baik dan sejahtera; iaitu merekalah yang akan selamat di akhirat kelak, berdasarkan firman Allah SWT:

“Tika hari itu, tidak lagi bernilai harta, anak pinak, melainkan mereka yang datang kepada Allah dalam keadaan hati yang sejahtera.” (Surah Ash-Shu’ara: Ayat 88-89)

Hidayah itu untuk hati; asas setiap hidayah dan  taufik itu adalah kebaikan dan amal yang soleh; seperti firman Allah SWT:

“Sesiapa yang beriman kepada Allah, Allah akan memberi petunjuk kedalam hatinya.”(Surah At-Taghabun: Ayat 11)

Begitu juga hadis dalam Sahih Muslim daripada Huzaifah Al-Yamani RA berkata:

“Hati itu terbahagi kepada 4 bahagian:

1-Hati yang disinari dengan pelita yang sentiasa menyinari hati orang yang beriman

2- Hati yang terkunci rapat seperti orang kafir

3-Hati yang berbolak-balik seperti orang munafik

4-Hati orang yang mengetahui, kemudian dia ingkar; dia melihat kemudian dia buta; hati yang terdapat padanya pecahan separuh iman, dan separuh lagi adalah nifaq.”

Manakala bagi orang yang beriman dan menjaga kesejahteraan hatinya; dia sentiasa berhati-hati dari was-was dan bisikan syaitan yang ingin memasuki dirinya; yang mana was-was itu seperti marah dan syahwat, hasad dan tamak, membazir dan tergopoh-gapah, kedekut dan takut miskin, taksub mazhab dan mengikut hawa nafsu, serta buruk sangka dengan hamba Allah yang soleh.

Allah SWT juga telah berfirman :

“Sesungguhnya orang yang bertakwa apabila mereka ditimpa was-was daripada syaitan, mereka ingat kepada Allah, dan ketika itu juga mereka melihat kesalahan-kesalahan mereka.”(Surah Al-A’raf: Ayat 201)

Pelbagai penyakit hati yang wujud adalah seperti syahwat dan syubhah; maka Al-Quranlah pengubat kedua-dua penyakit itu.

Begitulah kewajipan kita di bulan yang mulia ini; iaitu menerima sebulat-bulatnya kitab Allah yang agung, mengamalkannya, memahaminya, membaca dengan menghayati maknanya, tekun melakukannya hingga hati kita sentiasa mengingati-Nya, menghidupkan cinta dengan-Nya; sepertimana satu kata-kata:

“Orang yang mencintai akan terbang di awangan bersama ingatannya.”

Seseorang itu akan segera mencari redha Tuhannya. Setiap jalan-Nya adalah kewajipan baginya; manakala perkara sunat adalah kesungguhan dan kerinduan buat dirinya; kerana setiap orang perlu menyelamatkan dirinya melalui kebergantungan kepada Allah SWT dengan cara sentiasa berdoa, menyebut nama Allah yang mulia, sifat-Nya yang agung, dan juga sifat rasul-Nya.

Demikian itu sebagaimana firman Allah dalam kitabnya yang mulia : ”Hanya bagi Allah, ‘Asma’ul Husna’ , maka bermohonlah kepada-Nya dengan menyebut Nama-NamaNya, dan tinggalkanlah orang2 yang menyimpang daripada kebenaran, kelak mereka akan peroleh balasan terhadap apa yang telah mereka kerjakan” (Surah Al-A’raf: Ayat 180)

Oleh yang demikian, kita perlu berhati-hati dengan dosa, maksiat,
penyakit hati dan perkara yang boleh mematikan hati, serta perkara yang menjadi racun kepada hati; iaitu dengan banyak berkata-kata, banyak memandang yang tidak halal, pergaulan bebas, terlebih kenyang, dan tidur yang melampau.

Ibnu Mubarak RHM telah berkata:

“Aku melihat dosa itu mematikan hati, dan orang yang berterusan melakukan perkara keji akan ketagih dengannya. Manakala orang meninggalkan dosa boleh menghidupkan hati serta memperbaiki diri kamu daripada melakukan maksiat. Sesungguhnya agama akan rosak apabila pemimpin dan agamawan tidak melaksanakan syariat Allah SWT.”

Ya Allah, sucikanlah hati kami dari syak wasangka, syirik, kesesatan, kemunafikan dan segala macam penyakit hati.

Penuhilah hati kami dengan keimanan dan keyakinan, rasa cinta kepada-Mu, rasul-Mu, kitab-Mu dan kepada hamba-hambaMu yang soleh.

Terimalah puasa kami, solat kami, amal soleh kami; serta matikanlah kami dalam sebaik-baik keadaan.

Sumber: http://iumsonline.org/ar/3/som-lklb-olgorh-ayd/

Artikel Berkaitan

JOIN THE DISCUSSION

− two = five