Masjid Di Australia Jadi Sasaran Serangan Bom

Masjid Di Australia Jadi Sasaran Serangan Bom
(Terjemahan dari www.aljazeera.com oleh nuramran)


PERTH– Satu bom petrol disyaki telah diletupkan di luar sebuah pusat Islam di bandar Perth, Australia ketika ratusan penganut agama itu sedang  menghadiri solat jemaah di situ.

Menurut pihak polis,  letupan yang berlaku di luar Masjid Thornlie pada malam Selasa itu tidak mengakibatkan sebarang kecederaan individu; tetapi telah menyebabkan 4 buah kereta rosak, termasuk salah satunya hangus dijilat api.

Setelah itu lukisan grafiti yang mempunyai mesej anti-Islam itu didapati disembur menggunakan cat pada dinding yang bersambung dengan kolej Islam yang merupakan sebahagian daripada bangunan pusat Islam tersebut.

Perdana Menteri, Malcolm Turnbull, mengutuk serangan itu dan mengatakan bahawa Australia mempunyai prinsip asas menghormati antara satu sama lain.

“Saya begitu kesal dan sangat mengutuk sebarang serangan seumpama itu,” kata beliau kepada stesen radio 6PR.

Jurucakap Polis Australia Barat dalam satu kenyataan mengatakan bahawa dipercayai sejenis peledak digunakan untuk memulakan api; sambil menambah bahawa siasatan sedang dijalankan.

“Petang ini, masyarakat Perth telah dikunjungi kebencian,” tulis Yahya Adel Ibrahim, seorang guru di kolej Islam itu dalam akaun ‘Facebook’nya.

“Perkara ini sudah pasti adalah satu perbuatan jenayah kerana kebencian; tetapi ia adalah tindakan perseorangan atau kumpulan tertentu sahaja”, tulisnya lagi, yang turut menyatakan jemaah masjid tetap tidak berganjak dan terus melaksanakan solat hingga selesai.

Ahli parlimen kawasan ini, Chris Tallentine, turut melawat tempat kejadian dan meluahkan rasa kecewanya.

“Saya berasa kesal melihat kalian harus menghadapi serangan seperti ini. Sebenarnya ini adalah serangan ke atas kita semua.”

Dalam bancian terakhir negara tersebut pada tahun 2011, jumlah umat Islam hanya meliputi kurang daripada tiga peratus daripada keseluruhan 24 juta penduduk Australia, dengan majoriti penduduk di negara ini dikenalpasti sebagai penganut Kristian.

(Pautan Asal- http://www.aljazeera.com/news/2016/06/australia-mosque-targeted-firebomb-attack-160629061714982.html )

Artikel Berkaitan

JOIN THE DISCUSSION

eight + 1 =