Iraq: Pengeboman Berani Mati di Masjid Abu Ghraib Ragut 12 Nyawa

Iraq: Pengeboman Berani Mati di Masjid Abu Ghraib Ragut 12 Nyawa
(Terjemahan dari www.aljazeera.com oleh nuramran)


Sekurang-kurangnya 12 terbunuh dalam serangan berani mati ke atas sebuah masjid puak Sunni di bahagian barat Baghdad ketika para penganutnya berkumpul untuk menunaikan solat malam.

Menurut laporan pegawai di sana,  selain itu, 32 orang lagi mangsa cedera apabila seorang pengebom berani mati yang memakai vest dipenuhi bahan letupan menyerang masjid itu.

Mengulas kejadian berkaitan, pada hari Selasa baru-baru ini, pihak polis dan pegawai perubatan memberitahu agensi berita Reuters bahawa letupan telah meletus di sebuah masjid Sunni di Abu Ghraib,  yang terletak antara Baghdad dan bandar Fallujah, ketika jemaah berkumpul selepas tengah malam untuk beribadah malam.

Menurut laporan berasingan oleh agensi berita Associated Press, jumlah kematian adalah sebanyak 14 orang, berdasarkan maklumat yang diperolehi daripada anggota polis dan pegawai hospital yang tidak mahu nama mereka disiarkan atas alasan mereka tidak dibenarkan memberikan maklumat.

Sehingga kini, masih belum ada mana-mana pihak yang mendakwa bertanggungjawab terhadap serangan yang berlaku dalam bulan Ramadhan itu.

Serangan itu adalah serangan pertama yang berlaku di Baghdad serta sekitarnya sejak kerajaan Iraq mengisytiharkan kemenangan pada hari Ahad lalu ke atas kumpulan ‘Islamic State of Iraq and the Levant’ (ISIL, juga dikenali sebagai ISIS) di bandar Fallujah; yang terletak di sebelah barat negara itu.

Bandar Fallujah yang terletak dalam wilayah Anbar telah berada di bawah kawalan ISIL sejak Januari 2014.

Bandar tersebut merupakan bandar pertama jatuh ke tangan tentera ISIL; yang telah dikenalpasti menjadi tempat melancarkan serangan kumpulan ke sekitar ibu negara pada ketika ini.

Penawanan semula bandar Fallujah oleh kerajaan negara itu merupakan sebahagian siri serangan besar-besaran yang dilakukan untuk memerangi kumpulan ISIL.

Siri serangan ini bagaimanapun bakal membahayakan nyawa puluhan ribu orang awam yang terpaksa memilih untuk meninggalkan kediaman mereka dan keluar dari Iraq demi mengelakkan diri dari krisis kemanusiaan ini.

Hal ini demikian ekoran pasukan kerajaan sedang bersiap sedia melancarkan serangan di Mosul; yang merupakan saki-baki terakhir pusat kegiatan ISIL di negara ini.

(Pautan asal: http://www.aljazeera.com/news/2016/06/iraq-suicide-bombing-abu-ghraib-mosque-kills-12-160628040953541.html )

Artikel Berkaitan

JOIN THE DISCUSSION

ninety five − = eighty nine