Penyelewengan Maqasid Syariah

Apa yang ramai faham, maqasid syariat adalah tujuan sebenar ajaran Islam. Ia berpaksi kepada lima tunjang yang disebut sebagai doruriyat al-khams iaitu menjaga; akidah, nyawa, akal, maruah/keturunan dan harta. Maka segala perkara yang difikirkan menjaga kelima-lima perkara di atas adalah selari dengan kehendak Allah dan syariatnya.

Sebenarnya, maqasid syariat berasal dari perkataan bahasa arab (مقاصد الشريعة). Ia merupakan salah satu diantara aliran usul fiqh. Ilmu ini diasaskan oleh Imam as-Syatibi melalui karyanya al-Muafaqat. Imam Syatibi mengeluarkan doruriyat al-Khams hasil dari kajiannya terhadap satu persatu hukum syarak yang terdapat dalam sumber utama hukum Islam iaitu al-Quran dan Hadis.

Apa yang harus difahami, Maqasid Syariah diperkenalkan bertujuan untuk dijadikan benchmark kepada ijtihad-ijtihad baru dalam perkara yang tidak terdapat dalam sumber-sumber di atas. Maqasid Syariah boleh diibaratkan sebagai apa yang Allah inginkan disebalik setiap larangan dan suruhanNya. Ia bukan sama sekali untuk mewujudkan sistem dan peraturan baru yang bercanggah dengan sumber diatas. Bukan jua menjadikan maqasid syariah sebagai sumber baru menggantikan diatas.

Salah faham yang berlaku hari ini adalah apabila sesetengah pihak menjadikan doruriyat al-Khams itu sebagai sumber hukum. Lalu mereka sesuka hati membuat apa-apa tindakan dan peraturan yang difikirkan menepati doruriyat itu, sehingga mengabaikan hukum sebenar yang telah Allah tetapkan.

Contohnya dalam bab menangani masalah ekonomi, Sumber hukum Islam telah menetapkan zakat dan cukai-cukai seperti Jizyah, Kharraj dan Usyur. Jika dikaji dan dibangunkan satu persatu, semuanya tidak lari dari menjaga doruriyat al-Khams terutama harta. Tetapi golongan yang hanya menjadikan maqasid sebagai sumber tidak memperkasakan zakat seperti yang diajar oleh Islam sebaliknya mencari sistem lain kemudian memberi alasan sistem tersebut bertepatan dengan doruriyat al-Khams.

Begitu juga dengan masalah jenayah. Sumber hukum Islam mensyariatkan Hudud, Qisas dan Takzir demi menjaga kelima-lima maqasid yang disebutkan. Tetapi golongan yang menjadikan maqasid sebagai sumber menolak Hudud, Qisas dan Takzir lalu menganggap undang-undang ciptaan manusia lebih menepati maqasid syariat. Mereka seolah-olah faham apa kehendak Allah lebih daripada Allah sendiri.

Oleh : Alang Ibn Shukrimun
30 JUN 2016

Artikel Berkaitan

JOIN THE DISCUSSION

7 + two =