Palestin: Ratusan Ditahan Sejak Awal Ramadan

PALESTIN – Menurut Pusat Kajian Tahanan Palestin, Kira-kira 330 rakyat Palestin di seluruh Tebing Barat dan Semenanjung Gaza telah ditahan oleh Israel sejak awal Ramadan tahun ini.

Pengarah Pusat Kajian tersebut, Osama Shaheen, melaporkan kepada Al-Jazeera bahawa Israel telah meningkatkan serangan ke atas bandar-bandar Palestin dalam tempoh 20 hari sejak 6 Jun yang lalu.

“Kami dapati bahawa kempen tangkapan terhadap pemimpin dan aktivis di Hebron telah meningkat, terutamanya disebabkan oleh serangan baru-baru ini di Tel Aviv,” kata Shaheen.

Menurut rekod hasil kajian, sekurang-kurangnya 60 orang daripada 330 orang tahanan adalah kanak-kanak; yang mana paling muda berusia 10 tahun, Marwan Sharabati dari Hebron.

Manakala, 21 daripadanya adalah wanita yang berumur di antara 18 hingga 45 tahun.

Selain itu, kira-kira 15 orang lelaki Palestin ditahan, 13 orang daripada mereka merupakan nelayan dari Gaza.

Turut ditahan di Pelabuhan Ashdod, Israel ialah Mohammad Al-Halabi yang merupakan Ketua Program Gaza dalam Organisasi Kemanusiaan Kristian World Vision.

Serbuan telah dilakukan di seluruh bahagian Timur Jerusalem, Hebron, Nablus, Ramallah, Jenin dan Gaza.

“Terdapat serbuan setiap hari di Tebing Barat. Mereka menyasarkan sesiapa sahaja yang terlibat dalam intifada baru-baru ini atau dalam mana-mana aktiviti kebangsaan.”

“Kami dipergunakan dalam hal ini. Walaupun ia sangat menyakitkan, tetapi ianya telah menjadi rutin. Tidak ada satu rumah yang belum diserbu dan tidak ada satu keluarga yang tidak mempunyai syahid,” kata Shaheen lagi.

Setakat ini, pihak berkuasa penjara Israel tidak dapat dihubungi untuk mendapatkan komen.

Selepas serangan di sebuah pasar Tel Aviv, Israel telah menggantung permit masuk terhadap 83,000 rakyat Palestin dari Tebing Barat; sedangkan kebanyakan mereka berharap untuk masuk berdoa di Masjid Al-Aqsa di Baitulmuqaddis Timur pada bulan Ramadan ini.

Menurut satu statistik banduan dan hak asasi manusia, terdapat kira-kira 7,000 rakyat Palestin telah dipenjara oleh zionis Israel.

Daripada jumlah itu, 70 orang banduan adalah wanita; manakala 414 orang lagi merupakan kanak-kanak.

Lebih malang lagi, 104 tahanan yang dipenjara terdiri daripada mereka yang berumur bawah 16 tahun.

( Terjemahan dari www.aljazeera.net oleh Asmaa Yusof)

Pautan asal: http://www.aljazeera.com/news/2016/06/palestine-hundreds-detained-ramadan-160626084302084.html

Artikel Berkaitan

JOIN THE DISCUSSION

+ twenty = 23