Strategi Lima Lapis Siri IV: Kontroversi Menuju Negara Islam

Pada 1990-an, ada konklusi dari pemikir-pemikir Islam mengenai cara mengubah negara umat Islam ke arah perlaksanaan Syariah Islam. Tiga cara yang dinyatakan iaitu kekuatan senjata, revolusi dan demokrasi.

Cara menggunakan kekuatan senjata tentu sekali adalah cara paling banyak pertumpahan darah dan cara ini dipenuhi kontroversi.

Oleh kerana cara mengangkat senjata dilakukan, banyak kumpulan difatwakan sesat dan dianggap khawarij seperti kumpulan Hizbut Tarir, Jamaah Jihad, al-Qaedah dan terkini Islamic State of Iraq and Sham (ISIS).

Dari sudut sejarah moden, penggunaan bersenjata bagi memenuhi keperluan menubuhkan negara Islam hanyalah ISIS. Itupun perlaksanaan hukum hakam syariah tidak mengikut prosedur dan kaedah yang betul. Justeru, banyak polemik juga yang timbul.

Manakala cara revolusi turut mengorbankan jiwa yang banyak. Caranya adalah masyarakat dan orang ramai keluar rumah menyatakan protes di jalanan. Cara ini digunakan di Iran sehingga tertubuh Republik Islam Iran yang kekal hingga sekarang.

Dua revolusi di Tunisia dan Mesir yang dianggap kebangkitan Arab turut dikatakan berjaya menjatuhkan kerajaan sedia ada tetapi kejayaan ini tidak lama kerana hakikatnya regim zalim yang sedia ada masih berkuasa. Kekuasaan di Mesir kembali kepada tentera dan di Tunisia pula kembali kepada regim Sekular.

Akhirnya, cara demokrasi sahaja dianggap paling selamat yang tidak mengorbankan nyawa. Namun, ia sebenarnya tidaklah selamat. Wujud juga kontroversi antara kumpulan dalam negara.

Di Algeria, Parti Islam Algeria (FIS) telah berjaya dalam Pilihanraya Umum 1991 tetapi telah dinafikan kejayaannya. Malah, pemimpin dan ahli FIS diburu sehingga menyebabkan banyak pertumpahan darah. Pihak tentera Algeria telah menangkap 10,000 penentang dan dihantar ke gurun Sahara untuk diseksa.

Tak kurang masalahnya di Mesir, Ikhwan Muslimin (IM) telah berjaya dalam Pilihanraya Umum Presiden 2012. Tetapi, regim lama merampas kuasa, pemimpin dan ahli IM juga turut diburu. Ramai sudah telah terbunuh dan dihukum mati.

Sebenarnya, demokrasi ada baik dan buruknya. Walaupun ada buruknya, tidaklah demokrasi itu tertolak sama sekali. Demokrasi pada asalnya adalah untuk mendapat pandangan ramai dalam pemilihan pemimpin telah berubah kepada perseteruan tidak berkesudahan antara kerajaan dan pembangkang. Sifat permusuhan dan buruk sangka sering dibangkitkan. Akibatnya, politik dipandang kotor walaupun tujuan asalnya adalah baik.

Oleh demikian, bagi memastikan apa-apa tindakan gerakan Islam yang berjuang mengangkat agama dan Syariat Islam agar benar-benar selamat dan paling penting mengikut lunas agama yang benar. Tidak seharusnya pertelingkahan parti-parti politik dan mazhab-mazhab menyebabkan umat Islam saling berbenci antara satu sama lain.

Justeru itu, hendaklah gerakan Islam memastikan perjalanannya diperhati rapat oleh para alim ulama agar benar-benar mengikut lunas syarak. Seterusnya, teruskan berfikiran positif agar kebaikan bersama dari pelbagai pihak sentiasa terjamin dan sama-sama membenteras kemungkaran dan kejahatan. Malah, gerakan Islam hendaklah mengadaptasi hidup berjemaah yang matang dan sejahtera.

Oleh : Dr Muhammad Atiullah Othman
29 Jun 2016

Artikel Berkaitan

JOIN THE DISCUSSION

seven + one =