Insiden Pengeboman Di Turki, Islam Tolak Keganasan

Oleh: WAN NORDIN WAN YAACOB

KUALA LUMPUR: Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) menyifatkan serangan keganasan yang dilakukan oleh pihak-pihak yang bertanggungjawab terhadap serangan di Lapangan Terbang Ataturk, Istanbul, Turki petang Selasa 28 Jun 2016 yang mengorbankan 36 nyawa di samping 147 orang lagi mengalami kecederaan satu perbuatan yang salah dari kaca mata Islam.

Sehingga ke saat ini, dilaporkan dari siasatan awal pihak berkuasa Turki mempercayai bahawa serangan ini dilakukan oleh lebih seorang penyerang berani mati.

Menurut ketuanya, Ustaz Nik Mohammad Abduh Nik Abdul Aziz, DPPM sekali lagi menegaskan bahawa keganasan tidak pernah menjadi penyelesaian kepada mana-mana masalah.

Islam sama sekali mengutuk amalan keganasan apatah lagi melibatkan nyawa pihak awam yang tidak berdosa.

” Serangan berani mati di lokasi awam seperti di lapangan terbang ini jelas sekali dilakukan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab dan sama sekali tidak boleh dikaitkan dengan mana-mana agama,” kata beliau yang juga Ahli Parlimen Pasir Mas dalam satu kenyataan 29 Jun lalu.

Pihaknya juga merakamkan takziah kepada kerajaan Turki dan keluarga mangsa yang terlibat.

Katanya lagi, kebersamaan ini merentasi rantau dan benua apatah lagi Turki seolah-olah sedang menjadi plot utama serangan keganasan.

Ujarnya, dunia masih mengingati bagaimana pada 13 Mac yang lepas, bandar Ankara diserang dengan letupan bom yang mengorbankan 34 orang dan mengakibatkan kecederaan 125 orang mangsa.

Malah, DPPM melihat serangan kali ini pula hampir pasti dilakukan oleh pihak-pihak yang mempunyai cita-cita untuk melihat Turki terus bergolak dalam suasana yang tidak aman.

“Semoga Allah SWT mengurniakan kesabaran kepada Turki dan rakyatnya di atas ujian di bulan Ramadhan ini,” katanya.

Artikel Berkaitan

JOIN THE DISCUSSION

+ 87 = ninety three