Strategi Lima Lapis Siri III: Menuju Negara Islam Sepenuhnya

STRATEGI LIMA LAPIS SIRI III: MENUJU NEGARA ISLAM SEPENUHNYA
Oleh : Dr Muhammad Atiullah Othman

Istilah negara Islam dalam zaman Milinium ini membawa maksud al-Dawlah Islamiyyah, Islamic State dan Khilafah Islamiyyah. Negara-negara Islam di Tanah Arab menggunakan istilah Dawlah menunjukkan negara umat Islam secara umum.

Secara khusus pula, Iran meletakkan nama negaranya sebagai Republic Islam untuk menunjukkan negaranya adalah negara yang mengamalkan Islam. Islamic State of Iraq and Syria (ISIS) pula menggunakan istilah al-Khilafah Islamiyyah untuk menunjukkan negara yang dibentuk adalah negara Islam.

Namun, banyak negara ummat Islam menamakan negaranya sebagai negara Islam walaupun tidak melaksanakan undang-undang Islam. Cukup sahaja dengan perlembagaan negara meletakkan agama Islam dalam perlembagaan negara, terus sahaja disebut negara Islam.

Sebenarnya, bukan istilah yang patut diperjuangkan oleh gerakan Islam seluruh dunia. Polemik tentang istilah ini menjadi wacana yang tidak berkesudahan, namun apa yang lebih penting dari itu ialah kandungan dan perlaksanaan Islam menjadi isu utama dalam negara-negara Islam. Perlaksanaan Islam yang sepatutnya menjadi intipati keperluan utama kerana menyahut seruan Allah:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا ادْخُلُوا فِي السِّلْمِ كَافَّةً

(QS Surah al-Baqarah 2: 208)

Maksudnya:
Wahai orang-orang yang beriman! Masuklah kamu ke dalam Ugama Islam (dengan mematuhi) segala hukum-hukumnya.

Oleh demikian, menjadi kewajiban setiap jiwa yang mengaku beragama Islam hendaklah sentiasa mengukur dirinya, keluarganya, masyarakatnya dan negaranya agar mengatur hubungan sesama manusia dengan peraturan dari Allah s.w.t. Ukuran ini tidaklah dapat dilihat melainkan dengan perlaksanaannya ke alam realiti terutamanya dalam hidup berjemaah dan bernegara.

Tidak kira bagaimana keadaan geo-politik sesebuah negara dan status negaranya, mereka semua berkewajiban mempraktikan Islam dalam segala segi termasuklah perlembagaan dan undang-undang yang menjadi tulang belakang hidup bernegara.

Justeru, semua negara Islam mestilah terikat dengan segala perundangan Islam dan mestilah juga mengatur hubungan sesama manusia dengan peraturan dari Allah. Ia bukanlah menjadi sebuah negara yang bersifat teokrasi sebagai mana yang digembar gemburkan oleh sesetengah pihak, tetapi ada ruang lingkup thawabit dan mutaghayyirat.

Segala usaha ini adalah untuk memartabatkan Islam sebagai agama dalam kehidupan dan mengangkat kalimah Allah dipersada politik tanah air. Mereka tentu sekali adalah gerakan Islam yang bergerak secara berjemaah. Jemaah mereka adalah bertunjangkan Islam yang mengajak manusia menuju Negara Islam sepenuhnya.

28 Jun 2016

Artikel Berkaitan

JOIN THE DISCUSSION

− six = three