Ketenangan Adalah Anugerah Allah Buat Golongan Beriman

Dalam Perang Badar, Allah SWT memberikan perasaan mengantuk yang kuat hingga memaksa orang beriman tidur pada malam sebelum tercetusnya Perang Badar.

Ia berikutan juga hujan yang turun dengan lebat menambah lagi suasana yang baik untuk mereka berehat.

Firman Allah SWT :

إِذۡ يُغَشِّيكُمُ ٱلنُّعَاسَ أَمَنَةٗ مِّنۡهُ وَيُنَزِّلُ عَلَيۡكُم مِّنَ ٱلسَّمَآءِ مَآءٗ لِّيُطَهِّرَكُم بِهِۦ وَيُذۡهِبَ عَنكُمۡ رِجۡزَ ٱلشَّيۡطَٰنِ وَلِيَرۡبِطَ عَلَىٰ قُلُوبِكُمۡ وَيُثَبِّتَ بِهِ ٱلۡأَقۡدَامَ

“Ketika kamu diliputi perasaan mengantuk sebagai satu pemberian aman dari Allah. Dan ketika ia menurunkan hujan kepada kamu dari langit untuk mensucikan kamu dengannya dan menghapuskan dari kamu gangguan syaitan, dan juga untuk menguatkan hati kamu dan menetapkan dengannya pendirian kamu.”

Dr Ali Mohamad As-Solabi menyebutkan hikmah mengapa tentera Badar ditidurkan pada malam tersebut, walhal esok adalah hari penentu menang kalah Islam, antaranya termasuklah :

  • Untuk mengumpul kekuatan bagi berperang pada keesokan harinya.
  • Untuk memberi ketenangan kepada sebahagian mereka yang masih lagi gentar terhadap tentera Abu Sufyan bin Harb.

Dan ia juga untuk menghilangkan gundah-gulana para sahabat terhadap godaan syaitan.

Lumrah manusia apabila takut kita akan sukar untuk melelapkan mata.

Kata Hukama’, “aman itu tidur dan takut itu berjaga malam”.

Realiti umat Islam pada hari ini selayaknya membuatkan umat Islam tidak lena tidur.

Isu sejagat mahupun isu setempat ditambah isu politik yang sentiasa tidak memihak kepada Islam, apatah lagi isu ‘duit poket’ yang sentiasa berkurangan nyata mampu membuat kita tidak lena tidur memikirkan ruang untuk menambah pendapatan.

Akan tetapi, antara anugerah hebat buat orang beriman ialah ketenangan.

Hadiah ini akan membuatkan umat Islam mampu lena sekalipun diulit pelbagai masalah.

Ia bukanlah kerana kita tidak memikirkan masalah umat, ataupun kita tidak punya masalah; akan tetapi ia kerana kita yakin Allah sentiasa ada bersama orang beriman.

Ini menyebabkan waktu malam yang diberikan untuk berehat kita manfaatkan sebaiknya, malahan masih mampu untuk bangkit mendirikan solat malam seolah tidak ada apa-apa yang berlaku.

Dan sebenarnya, itulah masa yang baik untuk kita mengadu segala masalah kepada Allah Yang Mencipta dan Menyelesaikan masalah!

Sebab itu orang beriman mesti sentiasa tenang dalam apa jua keadaan.

Ia bukanlah bermaksud kita bersikap pasif mahupun tidak peduli masalah; akan tetapi mencari penyelesaian dengan hidayah dari Allah, di samping berbincang sesama manusia.

Yang berlaku hari ini, manusia berbincang masalah dan krisis seolah masa depan dan kejayaan itu adalah di tangannya sendiri.

Buat begini jadi begini, buat begitu jadi begitu; seolah dia Tuhan.

Kalau gabung, menang; kalau sendiri, kalah; begitulah barangkali akal kita merencana.

Dikisahkan oleh Dato’ Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang, Syeikh Muhammad Abu Zahrah dalam bukunya ‘Khatamun Nabiyyin’ ada menceritakan mengapa Abu Bakar As-Siddiq begitu mudah beriman kepada Nabi SAW.

Antaranya kerana Abu Bakar RA banyak menyaksikan beberapa kejadian pelik sebelum Nabi SAW menjadi Rasul, sangat rapat dengan Baginda; dan hati yang bersih serta keikhlasan Abu Bakar untuk mencari kebenaran.

Hati yang bersih untuk mencari kebaikan, Allah akan tunjukkan jalan.

Walaupun cerdik macam mana pun seseorang tapi hati kotor, tetap tidak mendapat petunjuk.

Sebab itu, ada yang mengatakan, “seseorang biarpun dia bodoh, tetapi ikhlas mencari kebaikan akan dipelihara oleh Allah.”

Sebab itu juga, kita lihat hari ini ada orang yang mengaji Al-Quran pandai, dan banyak ilmu; tapi lawan Islam kerana tiada hidayah.

Semoga Allah berikan kita ketenangan dengan menjadikan Al-Quran sebagai petunjuk dalam apa jua yang kita lakukan.

Ya Allah, kurniakan kami ketenangan dalam apa jua tindakan kami. Kurniakan kami malam Al-Qadr. Kurniakan kami takwa.

Oleh : Mohd Adlan Mokhtaruddin
28 Jun 2016

Artikel Berkaitan

JOIN THE DISCUSSION

thirty one + = 33