Syeikh Al-Audah : Rahsia Keajaiban Solat Malam

Menghidupkan malam atau Qiamullail sememangnya memainkan peranan yang sangat besar serta memberi kesan positif langsung kepada pelakunya.

Lantaran itu, umat Islam digalakkan agar melazimi solat malam, walaupun beberapa rakaat sahaja.

Hakikatnya, pembacaan Al-Quran dan penghayatannya ketika qiamullail memberikan kesan dan rahsia yang sangat ajaib.

Sebaliknya, sesiapa yang tidak melaksanakan qiamullail adalah orang yang kurang bernasib baik kerana dia tidak diberikan rezeki untuk merasai kelazatan membaca al-Quran dalam solat malam.

Dari itu, amat penting bagi seorang muslim untuk memperuntukkan sebahagian dari malamnya untuk melakukan solat terutamanya pada waktu sahur.

Hal ini demikian kerana, pada waktu itulah Allah menyeru kepada hamba-hambaNya:

“Adakah ada dari kalangan hamba-Ku yang berdoa(supaya Aku Makbulkan)? Adakah ada dari kalangan hamba-Ku yang meminta (supaya Aku Beri) ? Adakah ada dari kalangan hamba-Ku yang memohon keampunan (supaya Aku Ampunkan)?”

Di samping itu, solat malam dan menangis kerana takutkan Allah adalah kunci bagi kebaikan dan kebahagiaan; dan barangsiapa yang tidak memiliki kunci tersebut akan menghadapi masalah yang berpanjangan.

Justeru, umat haruslah bermujahadah melawan nafsu supaya dapat mendirikan solat malam, mentadabbur dan meneliti mukjizat Ilahi iaitu Al-Quran.

Sebahagian para salaf telah menghidupkan seluruh malam mereka dengan hanya satu ayat Al-Quran; kemudian mereka mentadabbur dan meneliti maknanya.

Ini menunjukkan bahawa sesiapa yang telah merasai kemanisan takutkan Allah, berdiri (laksanakan solat) di hadapan-Nya sambil meneliti dan mentadabbur isi Al-Quran, dia akan tetap merasai kemanisannya sekalipun dia pernah meninggalkan solat malam.

Barangsiapa yang terdapat di dalam hatinya satu kebaikan walaupun secebis, Allah akan mengembalikan kepadanya (rasa kemanisan itu) dengan cara yang pelbagai.

(Sedutan Tazkirah yang disampaikan oleh Sheikh Dr Sulaiman Al-Audah)

Oleh : Liana & Farhani

Artikel Berkaitan

JOIN THE DISCUSSION

1 + seven =