Malam Al-Qadr Yang Tiada Nilai Bandingnya

10 akhir Ramadhan adalah antara malam-malam yang penuh dengan keberkatan dan kelebihan tertentu. Malam-malam ini merupakan malam yang sudah pasti ditunggu-tunggu oleh orang mukmin. Bulan Ramadhan, Al-Quran, dan malam Al-Qadr mempunyai hubungan yang rapat antara satu sama lain sebagaimana yang diterangkan di dalam kitab Allah dan hadis Rasulullah SAW di antaranya firman Allah SWT :

إِنَّا أَنْزَلْنَاهُ فِي لَيْلَةِ الْقَدْرِ وَمَا أَدْرَاكَ مَا لَيْلَةُ الْقَدْرِ لَيْلَةُ الْقَدْرِ خَيْرٌ مِنْ أَلْفِ شَهْرٍ تَنَزَّلُ الْمَلَائِكَةُ وَالرُّوحُ فِيهَا بِإِذْنِ رَبِّهِمْ مِنْ كُلِّ أَمْرٍ سَلَامٌ هِيَ حَتَّى مَطْلَعِ الْفَجْرِ

“Sesungguhnya kami menurunkan Al-Quran pada malam Lailatulqadar dan apakah yang menyebabkan engkau mengerti apa itu malam Al-Qadr. Malam Al-Qadr lebih baik daripada 1000 bulan. Pada malam itu, para malaikat dan Jibril turun dengan keizinan daripada Tuhan mereka untuk setiap urusan. Malam ini sejahtera hingga terbit fajar”.

SEBAB TURUN SURAH AL-QADR

Malam Al-Qadr mempunyai kelebihan yang begitu besar. Ianya lebih baik dari 1000 bulan yang lain. Sebab diturunkan ayat tersebut diriwayatkan daripada Mujahid dikatakan sebab turun ayat tersebut ialah Nabi SAW telah menyebut tentang seorang lelaki daripada Bani Israel yang telah menggunakan alat senjatanya untuk berperang pada jalan Allah maka orang Islam pun kagum di atas perbuatan itu lalu Allah menurunkan ayat di atas.

Riwayat yang lain pula dari Ali bin Aurah pada satu hari Rasulullah telah menyebut empat orang Bani Israel yang telah beribadah kepada Allah selama 80 tahun. Mereka sedikitpun tidak derhaka kepada Allah lalu para sahabat kagum dengan perbuatan mereka itu. Jibril datang memberitahu kepada Rasulullah bahawa Allah SWT menurunkan yang lebih baik dari amalan mereka. Jibril pun membaca Surah Al-Qadar dan Jibril berkata kepada Rasulullah ayat ini lebih baik daripada apa yang engkau kagumkan ini menjadikan Rasulullah SAW dan para sahabat amat gembira.

Daripada ayat di atas dapatlah kita ketahui bagaimana besar kelebihan orang yang beribadah pada malam Al-Qadr. Ianya satu malam menyamai beramal 1000 bulan. Dalam hadis Rasulullah SAW menyebut :

“Rasulullah bersungguh-sungguh beribadah pada 10 akhir bulan Ramadhan lebih daripada yang lainnya.”

Rasulullah SAW melakukan ibadah pada malam itu bukan hanya setakat baginda sahaja tetapi baginda menyuruh ahli keluarga bangun bersama beribadah. Kata Aisyah RA :

“Nabi SAW apabila masuk 10 akhir bulan Ramadhan baginda mengikat kainnya. Menghidupkan malam dengan beribadah dan membangunkan keluarganya untuk sama-sama beribadah. Mengikat kainnya bermaksud bersungguh-sungguh mengerjakan ibadah.”

Semoga kita dianugerahkan Allah SWT untuk bertemu dengan malam Al-Qadr. Gandakan amalan dan perbanyakkan doa sebagaimana dalam sebuah hadis riwayat Tirmizi, Ahmad dan Ibn Majah bahawa Aisyah RA bertanya kepada Rasulullah SAW :

“Wahai Rasulullah, sekiranya aku berada pada Lailatul Qadar (bertepatan dengan malam Al-Qadr), maka apa yang aku perlu buat? Baginda menjawab “Bacalah:

اَللَّهُمَّ اِنَّكَ عَفُوٌّ كَرِيْمٌ تُحِبُّ الْعَفْوَ، فَاعْفُ عَنِّىْ وَاغْفِرْلِى.

Ya Allah ! Sesungguhnya Dikaulah Maha Pengampun, Maha Pemurah lagi Suka Mengampun. Maka ampunilah dan lindungilah diriku.”

Oleh : Aisyah Yamin

Artikel Berkaitan

JOIN THE DISCUSSION

− 6 = four