KWSP Siri 1 : Sistem KWSP Mengandungi Unsur ‘Duulatan Baina Al-Aghniya’ Jika Dilihat Dari Aspek Lebih Komprehensif

KWSP SIRI 1: SISTEM KWSP MENGANDUNGI UNSUR ‘DUULATAN BAINA AL-AGHNIYA’ JIKA DILIHAT DARI ASPEK LEBIH KOMPREHENSIF
Oleh: Zaharudin Muhammad

Sebagai mukadimah, apabila saya menyebut sistem KWSP adalah tidak menepati syariat, ia tidak bermakna saya menolak kepentingan simpanan, bahkan Islam mempunyai cara dan sistemnya sendiri yang menjadikan rakyat boleh dan mampu menyimpan yang dikenali sebagai kaedah simpanan Quut As-Sanah (tidak sempat untuk mengulasnya di sini).

Ia juga tidak bermakna KWSP perlu ditutup. Sebagaimana apabila ulama kita menyebut riba haram sewaktu awal-awal dahulu, ia tidak bermakna bank perlu ditutup. Sebagaimana sistem bank boleh diislamkan dengan membuang unsur haram yang terdiri daripada Riba, Gharar dan Baatil, maka KWSP yang saya sifatkan sebagai tidak menepati syariat ini juga boleh diislamkan dengan membuang unsur-unsur haram di dalamnya seperti unsur Duulatan Bainal Aghniya’, monopoli dan Baatil.

Saya akan mengulas tentang elemen haram terlebih dahulu sebelum saya menyebut cadangan-cadangan yang boleh dilaksanakan untuk pembentukan KWSP yang halal sistemnya, bukan halal kontraknya sahaja.

Untuk menilai sistem KWSP, ia tidak boleh dilihat dari skop simpanan sahaja, tetapi ia mesti dilihat dari skop yang lebih komprehensif (meluas) bermula daripada mengambil duit daripada empunya (pekerja) secara paksa sehinggalah ianya dipulangkan semula selepas umur pencen. Sebagaimana riba tidak jika hanya fokuskan kepada lebihan pembayaran, maka ia boleh dianggap halal dan bagus atas dasar hadiah atau ‘hibah’. Tetapi apabila dilihat secara komprehensif bermula daripada pinjaman, tempoh dan syarat-syaratnya, lebihan itu dianggap sebagai riba, bukan lagi hadiah.

Begitu juga isu KWSP ini, ukurannya bukan pada simpanan sahaja, tetapi mesti dilihat secara lebih komprehensif dan menyeluruh; daripada caruman yang diwajibkan atau lebih tepat dipaksa bayar oleh kerajaan ke atas pekerja dan majikan sehingga wang itu dikembalikan semula kepada tuan empunya sewaktu umur pencen. Saya akan gariskan 2 unsur penting syariat yang perlu dinilai keharusan sistem KWSP; iaitu Duulatan Baina Al-Aghnia’ (pusingan wang dalam kalangan orang-orang kaya sahaja) dan hukum memaksa pekerja dan majikan membayar wang gaji dan perolehan mereka.

Tulisan kali ini saya hanya fokuskan kepada bagaimana KWSP ini dimasuki oleh unsur Duulatan Baina Al-Aghniya (DBA) yang menjadi faktor haram dalam pengurusan kecairan wang negara. Jika mabuk menjadi faktor haram bagi minuman, riba menjadi faktor haram dalam transaksi muamlaat, tidak sembelih faktor haram dalam pemakanan binatang, maka DBA pula adalah salah satu faktor haram dalam pengurusan aliran kecairan wang negara.

DBA bermaksud segala wang yang dikutip oleh kerajaan, agihan dan manfaatnya hanya berputar dan berlegar dalam kalangan orang-orang kaya sahaja. Firman Allah swt di dalam Al-Quran:

كي لا يكون دولة بين الأغنياء منكم

Maksudnya: (Ketetapan yang demikian) supaya harta itu tidak hanya beredar di antara orang-orang kaya dari kalangan kamu. – (Al-Hasyr: 7).

Dari segi kewujudan elemen DBA dalam sistem pengurusan KWSP dapat dipastikan kewujudannya apabila wang yang dikutip daripada pekerja bawahan dan syarikat-syarikat kecil dan sederhana digunakan untuk pelaburan yang hanya melibatkan syarikat-syarikat besar yang dipunyai oleh orang kaya sahaja. Pembelian bon, sukuk dan termasuk pembelian syer dan aset hanya akan membantu kecairan dan pertumbuhan dikalangan mereka. Bukan setakat itu, pertumbuhan syarikat-syarikat besar ini secara sedar atau tidak telah melanyak peniaga-peniaga kecil.

Saya mengambil contoh yang lebih jelas, rangkaian ‘hyper market Giant’ yang susur galurnya dimiliki oleh Keswick Family, seorang warga UK berbangsa Scottish. Kuasa modal Giant sebahagiannya adalah daripada suntikan KWSP sehingga syarikat ini mampu menguasai pasaran runcit tempatan seterusnya mematikan kedai-kedia runcit, super market, kedai-kedai elektrik dan elektronik, kedai ‘hardware’ tempatan yang kecil dan sederhana serta mengurangkan jualan makcik-makcik dan pakcik-pakcik di pasar-pasar berdekatan.

KWSP pernah menyumbang kepada kecairan asset Giant dengan membeli asset Hartanah Progresif Sdn Bhd milik Giant sebanyak RM382 juta dan menyewakannya semula kepada Giant sekitar tahun 2005. Dengan kecairan ini, Giant mampu membangunkan (develop) 4 cawangan lain sebagaimana menurut John Coyle, CEO kepada Dairy Farm yang menjadi pemegang saham terbesar kepada Giant.

Pada tahun 2016 ini, GCH Retail (M) Sdn. Bhd, pemilik kepada Giant merancang untuk menaik taraf 28 hyper runcitnya, membuka 4 cawangan baru di Jertih (Terengganu), Setapak (Kuala Lumpur), Kangar (Perlis) dan Kota Baru (Kelantan). Kuasa tenaga pekerja mereka ialah seramai 10,000 orang sebagaimana pada tahun 2015. Kuasa perniagaan ini tidak mungkin boleh distabilkan tanpa dana pelaburan yang besar seperti KWSP dan dana-dana lain negara, terutamanya untuk kecairan dan mengawal ‘cash flow’ syarikat.

Untuk lebih fokus, saya mengambil Sabasun Hyper Runcit sebagai contoh yang lebih jelas. Ia adalah sebuah syarikat yang dimiliki oleh anak tempatan, anak watan, rakyat Malaysia, bangun dengan kaki dan modal sendiri. Selain itu, bantuan modal paling tinggi pun ialah daripada pihak bank. Syarikat ini beransur-ansur naik daripada kedai biasa, bertatih bermula tahun 1990an, sehingga menjadi ‘hyper market’.

Syarikat Sabasun ini membayar caruman (majikan dan pekerja) RM80 ribu lebih setiap bulan (hampir RM1 juta setahun) kepada KWSP secara wajib. Wang ini, digunakan oleh pihak KWSP untuk melabur dalam bidang-bidang termasuk dalam pembelian aset Giant di atas, seterusnya membantu kecairan modal Giant dan memperkukuhkan kedudukan Giant itu sendiri.

Kesannya, Giant cawangan baru berjaya di buka di Hiliran, Kuala Terengganu, berhampiran dengan Sabasun itu sendiri. Dengan wujudnya Giant baru ini, maka hampir semua kedai runcit, kedai-kedai elektrik yang kecil dan sederhana mati dan gulung tikar; termasuk juga pasar-pasar berdekatan yang menjual barangan basah dan kering serta kedai-kedai pakaian di sekitarnya mengalami kemerosotan. Sebahagian kedai-kedai yang terkesan ini, mereka juga adalah penyumbang kepada dana KWSP.

Tetapi alhamdulillah, Sabasun berjaya bertahan sekalipun hampir semua kedai-kedai runcit sekitarnya mati dan beberapa ‘hyper’ runcit lain terpaksa bungkus. Sabasun terpaksa mengambil strategi bertahan selama 4 tahun dengan berniaga tanpa untung dan fokus untuk kekal hidup dalam tempoh tersebut. Tanpa menggunakan strategi bertahan ini, saya pasti Sabasun juga akan lenyap dan tinggal sejarah.

Dalam perkataan lain, Sabasun dan pekerjanya terpaksa membayar wang KWSP oleh kerajaan sekitar RM80 ribu sebulan, seterusnya wang itu dimanfaatkan oleh Giant yang menjadi pesaing kepada Sabasun itu sendiri yang hampir mematikan perniagaannya.

Jika dilihat secara lebih halus, dengan cara ekonomi seperti ini, yang mendapat manfaat yang paling besar ialah Keswick Family, seorang warga UK yang anda sendiripun tidak pernah mengenali dan bertemu dengannya. Ia membuka premis di tanah kita, bermodalkan wang kita, seterusnya ia mematikan bisnes kita sendiri.

Dahulu, mungkin kita boleh dimomokkan bahawa dengan wujudnya syarikat-syarikat besar seperti ini membuka peluang pekerjaan, tetapi sekarang, pekerja-pekerja Giant adalah orang-orang asing seperti Bangladesh, Myammar dan lain-lain.

Jadi, siapakah yang paling untung dengan sistem ini?

Sekian.

Nota: anda jangan menilai dahulu pandangan saya hanya dengan tulisan ini, tunggu sehingga habis 2 lagi siri yang akan datang:

1. Siri 2: hukum kerajaan mamaksa rakyat membayar wang mereka serta kesannya.

2. Siri 3: KWSP Islam alternatif kepada KWSP berkontrak Islam.

Sila lawat dan beri sokongan kepada syarikat tempatan:
http://www.sabasun.com/v1/

Sila Like Dan Share:
https://www.facebook.com/permalink.php?story_fbid=1210569635640136&id=312456128784829
24 Jun 2016

Artikel Berkaitan

JOIN THE DISCUSSION

twenty nine − = 24