Polemik Khilaf Adalah Senjata Sekular Menikam Islamis (Siri 1)

POLEMIK KHILAF ADALAH SENJATA SEKULAR MENIKAM ISLAMIS (Siri I)
Oleh : Dr Muhammad Atiullah Othman

Polemik khilaf antara Sunni dan Syiah, Salaf dan Khalaf, dan Wahabi dan Habaib tiada kesudahan kerana dua-dua belah pihak mencari dan mengembangkan dominasi. Begitu juga perbincangan Islamisme dan Sekularisme masih tiada kesudahan kerana walaupun polemik yang dibincangkan adalah taraf ‘recycle’, golongan Sekular masih tanpa segan membawa pemikiran lama.

Sebenarnya, anjakan sekularisme telah lama gagal dalam negara Islam. Pemimpin-pemimpin Arab yang berfahaman sekular bertukar wajah kepada semi-sekular. Pemimpin-pemimpin Arab semuanya sedar kekuatan agama, mazhab dan ulama dalam negara. Akibatnya, walaupun pemimpin-pemimpin Arab mengangkat tinggi nasionalis Arab, institusi agama tidaklah dikesampingkan. Mereka ini bukanlah sekular sepenuhnya, mereka hanyalah semi-sekular.

Sekularisme telah lama gagal dalam negara-negara Islam dan mengalami kemunduran yang teruk. Apabila wujud satu gerakan luar kawalan dan tidak dijangka yang disebut Arab Spring, pemimpin-pemimpin Sekular terpelanting dan kemarahan rakyat berterusan. Negara nasionalis mula tumbang satu persatu. Pemimpin negara Arab yang terselamat adalah negara Arab yang mempunyai jiwa agama sama ada bermazhab Salafi, Asha’irah mahupun Syiah. Bahkan, negara berpaksikan sekular dan nasionalis perlu bergantung sentimen agama untuk bertahan.

Oleh demikian, wujud wadah baru Sekularisme dengan penjenamaan semula dan dinamakan Post Islamisme. Post Islamism merupakan projek yang mengemukakan bentuk gerakan Islam berpaksikan Demokrasi, Liberal dan Sekularisme. Lalu, parti al-Nahdah dipimpin oleh Rashid Ghanoushi dan AKP dipimpin Erdogen dilambung tinggi sebagai model negara terbaik yang pada hakikatnya adalah model negara sekular.
Namun, kekalahan Rashid Ganoushi dan partinya al-Nahdah menunjukkan kegagalan Post Islamisme dan segala kefahamannya yang melewat-lewatkan pengamalan syariat. Kekalahannya bukan hanya kerana kekurangan sokongan rakyat tetapi kekurangan sokongan pemimpin-pemimpin parti al-Nahdhah terhadap beliau.Hanya Erdogen sahaja berjaya naik ke puncak. Itupun, Erdogen menafikan dirinya merupakan Islam Modernist dan masih menunjukkan watak Islamis yang unggul.

Kesemua ini menunjukkan bahawa sekular sepenuhnya di negara Islam telah gagal dan semi-Sekular dalam post-Islamisme telah gagal. Tinggal yang wujud adalah penolakan masyarakat Islam terhadap sekular dan ingin kembali kepada agama. Menyedari hakikat ini, bentuk Sekular dengan menggunakan demokrasi adalah gagal dan hampir gagal menarik sokongan masyarakat Islam. Hanya dua pilihan sahaja bagi golongan sekular untuk bertahan iaitu menggunakan ketenteraan sebagaimana dilakukan pada zaman silam di Turki, Mesir dan Tunisia atau meminta agar golongan Islamisme menerima beberapa konsep sekular bersama mereka.

Walau demikian, usaha Sekular tetap gagal. Apabila menyedari golongan Islamis tidak menerima sekular sama ada sekular sepenuhnya atau semi-sekular, dendangan baru dari golongan sekular menyerang pemikiran Islamis dengan mewujudkan andaian bahawa Islamis telah gagal. Sebenarnya pembuktian Islamis telah gagal tidak dapat menarik minat para cerdik pandai Muslim dan golongan Islamis sendiri. Lalu, nama negara Islam dinampakkan buruk setanding dengan nama ISIS.
Walaupun Sekular telah lakukan dengan pelbagai usaha, sokongan masyarakat Islam kepada Islamis tidak berkurangan. Islamis tidaklah gagal. Sebaliknya, sokongan masyarakat Islam kepada sekular benar-benar berkurangan. Sekular sebenarnya yang gagal kerana masyarakat Islam mula kembali kepada agama. Golongan Islamis telah berjaya memacu dengan melihat perubahan masyarakat Islam untuk kembali bersyariat.

Buktinya, gay dan lesbian yang disokongan golongan liberal dan sekular sepenuhnya, tiada tempat di hati umat Islam. Perundangan Islam semakin diminati dengan satu persatu negara umat Islam melaksanakan hukum hakam syariat. Bahkan, negara-negara Islam yang belum melaksanakan hukum-hakam Syariat terus mendesak agar syariat Islam menjadi teras dalam perundangan negara.
Bukan setakat masyarakat Islam marhaen sahaja menyokong kepada perlaksanaan dan perjuangan Islam, bahkan golongan pertengahan dan atasan sudah menunjukkan minat mereka terhadap Islam. Fenomena ini tidak dapat dinafikan pada zaman sekarang. Islam dan Islamis sedang memacu dan mendapat sokongan rakyat. Kesedaran anak muda sudah semakin bertambah.

Sudah sampai masanya, para pencinta dan perjuang Islam tidak mendiamkan diri terhadap golongan sekular. Mereka sebenarnya sudah kehabisan modal untuk meletakkan kesangsian terhadap Islam dan syariat Islam. Sudah tiba masanya, Islamis pula mengatakan perjuangan Sekular telah gagal kerana sokongan masyarakat Islam kepada mereka semakin lama semakin menurun.
Namun, tiba-tiba polemik Khilaf Salafi dan Khalafi muncul di tengah-tengah perseteruan Islamisme-Sekular yang merencatkan kebangkitan Islamisme seperti yang berlaku di Mesir. Senjata khilaf ini juga turut digunakan di Arab Saudi menghadapi kebangkitan Islamisme khususnya Ikhwan al-Muslimin di Yaman. Akibatnya, golongan Islamis berundur beberapa tapak mengukuhkan kedudukannya semula.
Kini, polemik Khilaf antara Salafi dan Khalafi muncul pula di Malaysia. Persoalan yang sering timbul adalah adakah polemik Khilaf ini akan menjadi senjata yang sama digunakan di Mesir dan Yaman? Golongan sekular sangat-sangat menantikan golongan Islamis dilemahkan dengan isu khilaf berpanjangan. Golongan Sekular juga menantikan Salafi dan Khalafi ini bertukar wajah kepada ekstremis agar mengheret golongan Islamis dalam kancah perdebatan panas yang melampaui batas.

Golongan Sekular sangat menantikan agar Islamis bersikap ganas dan ekstrem agar dijadikan bahan bukti kepada masyarakat Islam bahawa Islamis juga merupakan pengganas dan ekstremis. Dengan cara ini akan mewajarkan tindakan dilakukan terhadap Islamis dan pejuang Syariat. Akhirnya, sekular selamat dan Islamis terkulai. Sepatutnya, Salafi dan Khalafi membantu mengangkat Syariat Islam dalam negara, hendaklah menghentikan polemik khilaf dan bersama-sama Islamis menghadapi sekularisme dan semi-sekularisme.
23 Jun 2016

Artikel Berkaitan

JOIN THE DISCUSSION

+ thirty seven = 47