Ke Arah Mengembalikan Kegemilangan Dakwah dan Siasah Islam Kuala Selangor

KE ARAH MENGEMBALIKAN KEGEMILANGAN DAKWAH DAN SIASAH ISLAM KUALA SELANGOR
Oleh : Ahmad Hakimi Othman

Bagi mereka yang bermastautin di daerah Kuala Selangor dan bekerja untuk ISLAM, adalah amat perlu untuk melihat bahawa Kuala Selangor dahulunya adalah sebuah tapak keagungan ISLAM yang sudah dibina lama oleh generasi terdahulu.

Jika ditinjau dengan sejarah lama, Kuala Selangor dan Kubu Kota Melawati adalah tapak Pertama Kesultanan Selangor yang diasaskan Oleh Raja Lumu anak Daeng Chelak yang kemudiannya Bergelar Sultan Salahuddin Ibnu Daeng Chelak menjadi Sultan Selangor yang pertama dari keturunan Bugis Opu Lima Bersaudara. Di Bukit Melawati inilah sejarah Pertembungan Hebat Antara Kerajaan ISLAM Selangor berperang dengan Pasukan Belanda. Pada suatu ketika, Bukit Selangor ditawan Belanda pada 1874, namun tidak sampai setahun Pasukan Yang dipimpin Oleh Sultan Ibrahim dapat menawan semula kubu tersebut dalam satu malam hasil bantuan jihad Dato Penggawa Permatang dan pasukan bantuan dari Pahang dan Terengganu.

Lokasi di tepi pesisir pantai menghadap Sumatera juga menyebabkan Pinggiran pantai menerima orang melayu sumatera yang pernah berjuang menentang penjajah dan merantau ke sini untuk mencari tapak baru dan meneruskan perjuangan mereka.

Kuala Selangor juga terkenal dengan Sekolah Agama Jeram yang dahulunya diasaskan oleh Timbalan Mufti Selangor Ustaz Mohd Mohit Yusuf dengan nama Taman Tunas Putera Puteri ISLAM yang melahirkan cendekiawan cendiakawan ISLAM yang menyambung tugas tugas ulama terdahulu meneruskan perjuangan ISLAM. Seorang Guru Taman Tunas Putera Puteri ISLAM iaitu Ustaz haji Mohamad Amin pula mengasaskan Balai dakwah ISLAM bersama Ustaz Mohamad Shahar Sulaiman dan Ustaz Haji Nasoha Ahmad. Ketiga ketiga tokoh agama Jeram ini membina tapak dakwah untuk membetulkan masyarakat ketika itu yang masih mengamalkan khurafat khurafat seperti puja pantai dan mandi safar beramai ramai di pantai remis, jeram.

Di Balai Dakwah ISLAM Jeram inilah, pada suatu ketika dahulu, Diadakan kursus seminar kefahaman ISLAM untuk meyedarkan pelajar pelajar tentang ISLAM yang sebenar. Sementelah waktu itu, gerakan seperti ABIM begitu cergas menganjurkan tamrin dan halaqah untuk membentuk generasi generasi baru tentang ISLAM. Maka daripada sinilah lahir beberapa tokoh seperti Ustaz Haslin Bollywood yang terkenal ketika ini.

Kemudian, dengan kemajuan Balai Dakwah ISLAM, lahir pula Maahad tahfiz Dan Qiraat yang antara terawal diasaskan di Malaysia bersama Maahad tahfiz kubang Bujuk di Serada, Terengganu. Di sinilah lahirnya beberapa tokoh guru Quran dan Agama.

Bagi mereka yang terlibat dengan dakwah Jemaah tabligh, Kuala Selangor juga melahirkan seorang tokoh ulama yang disegani iaitu Ustaz Shahar Sulaiman, yang pernah berguru dengan Pengasas Sekolah ISLAM Hishamuddin iaitu syeikh Mahmud Al Bukhari. Tokoh ulama Selangor yang banyak melahirkan tokoh tokoh agama Selangor setelah diberi amanah Oleh Sultan Selangor untuk mendirikan dan mentadbir sistem Sekolah ISLAM. Dakwah Ustaz Shahar Sulaiman diiktiraf sehingga diangkat sebagai Tokoh maal Hijrah Selangor pada 1413 hijrah. Dan saat kematian beliau pada 2005, diumumkan di radio Selangor dan seluruh Selangor merasai kehilangannya. Salah seorang anak Ustaz Shahar, Ustaz Mohd Noor Shahar sekarang menjawat NYDP PAS Kawasan Kuala Selangor. Suatu legasi dakwah yang akan disambung untuk memartabatkan ISLAM.

Di sebelah ijok pula, di Kampung Kuantan. Lebih kurang dalam masa yang sama dengan penubuhan Balai ISLAM, dibina pula maahad tarbiyah Al Ansori yang diasaskan oleh Allahyarham Ustaz Zakaria Ismail Al Ansari yang pernah menjadi AJK Dewan Ulama PAS Pusat dan Selangor. Maahad ini juga turut melahirkan tokoh tokoh guru dan ustaz seperti Ustaz Muhammad Nazmi Abdul Karim yang terkenal dengan tagline smackdown.

Maka, dengan legasi ISLAM dan tarbiyyah ISLAM yang cukup panjang ini. Kuala Selangor sebenarnya sudah disediakan oleh generasi terdahulu sebagai sebuah tapak yang mesra perjuangan ISLAM. Kampung Bukit hijau pernah menjadi tapak jambori Amal Pertama Negeri Selangor pada tahun 90 an dahulu. Tinggal lagi generasi generasi muda hari ini menyambung usaha usaha pejuang terdahulu dan terus bergerak ke hadapan untuk mencari kemenangan dakwah dan siasah yang akan terus memacu ISLAM ke kemuncaknya.

Di sinilah harapan semua anggota Abnaul Harakah yang ada supaya kami semua dapat menggalas dan menyambung tugas yang mulia ini sehingga Berjaya atau mati dalam menjayakannya. Moga usaha usaha orang terdahulu yang diwarisi kami ini menjadi amalan yang akan dibawa bekal menghadap ALLAH Rabbul Jalil.

Doakan Kami ISTIQAMAH Meneruskan Dakwah ini.

23 Jun 2016

Artikel Berkaitan

JOIN THE DISCUSSION

+ fifty four = fifty six