Islam Menyanggah Hujah Golongan Liberalis

ISLAM MENYANGGAH HUJAH GOLONGAN LIBERALIS
Penulis: Muhammad Atiullah Bin Othman

Islam adalah agama yang benar yang diturunkan oleh Allah. Malah, Allah telah meredhai agama Islam dari mula penciptaan manusia sehingga akhir kiamat. Justeru, Islam mewajibkan kepada seluruh Muslim agar patuh dan tunduk kepada Islam. Firman Allah:

إن الدين عند الله الإسلام

(al-Quran, Surah Ali Imran 3: 19 )

Maksudnya: Sesungguhnya agama (yang diridhai) disisi Allah hanyalah Islam.

Ayat ini memberi maksud bahawa redha Allah hanyalah tertumpah kepada agama Islam. Dari sudut bahasa, perkataan ‘agama’ bermakna syariat dan ibadat, dan perkataan ‘Islam’ bermaksud taat dan bersih dari syirik. Namun, dari sudut istilah, agama ‘Islam’ adalah agama Islam semata-mata bukan agama lain. Agama Islam merupakan satu agama yang berdasarkan ikutan sempurna kepada Allah berbentuk ketaatan dan bersih sepenuhnya dari segala bentuk syirik. Maka agama selainnya seperti Yahudi, Kritian, Hindu dan Budha adalah tertolak sama sekali. Begitu jugalah segala isme-isme selain agama Islam seperti Sekularisme, Libralisme, Marxisme dan Sosialisme adalah tertolak sama sekali.

Oleh demikian, segala dakwaan liberalis yang menampakkan sikap anti agama sama ada menolak Islam sepenuhnya atau sebahagiannya perlulah dihadapi oleh Muslim yang mengaku menganut agama Islam. Golongan Liberal perlu ditolak dari setiap sisi pemikiran mereka terutama sikap liberalis yang menidakkan kesempurnaan Islam, menolak syariat Islam dan memilih perundangan Barat, menolak penggunaan nas syarak dan mengutamakan hujah akal dan menyalah gunakan maqasid syarak. Justeru, langkah paling patut diambil oleh Muslim hendaklah sentiasa teguh kembali kepada syariat Islam dan berdiri teguh mempertahankan kedudukan para ulama. Dengan cara inilah, golongan liberalis hujah liberalis dapat dipatahkan.

AGAMA ISLAM TELAH SEMPURNA: TIADA KEPERLUAN KEPADA SEKULAR

Islam telah menjawab kepada seluruh agama dan ideology bahawa Islam merupakan agama yang sempurna. Firman Allah s.w.t.:

الْيَوْمَ أَكْمَلْتُ لَكُمْ دِينَكُمْ وَأَتْمَمْتُ عَلَيْكُمْ نِعْمَتِي وَرَضِيتُ لَكُمُ الْإِسْلَامَ دِينًا

(QS al-Ma’idah 5: 3)

Maksudnya: Pada hari ini, Aku telah sempurnakan bagi kamu ugama kamu, dan Aku telah cukupkan nikmatKu kepada kamu, dan Aku telah redakan Islam itu menjadi ugama untuk kamu.

Ayat ini menjelaskan bahawa agama Islam telah sempurna dengan pensyariatan dan penjelasan halal dan haram, petunjuk kukuh kepada jalan yang benar dan Islam adalah agama yang Allah s.w.t. terima sebagai suatu ikutan. Kesempurnaan agama ini merangkumi setiap juzuk kehidupan dan menjadi pegangan Muslim. Oleh demikian, tidak patut mengatakan pensyariatan Islam tidak releven pada zaman ini kerana agama in tidak bertambah dan telah diredhai Ilahi. Justeru, agama Islam adalah perundangan bagi setiap tempat dan zaman kerana Allah lebih mengetahui hajat dan perkembangan manusia .

Hendaklah kita mengerti bahawa agama meliputi semua kehidupan manusia dan tiada pemisahan antara agama dan kepimpinan. Bahkan, Al-Qardawi pernah memperingatkan natijah paling bahaya dan kesan paling buruk daripada Sekular adalah memisahkan Islam dari kehidupan umum dan kepimpinan dengan mengatakan agama adalah hak Allah dan Negara adalah hak semua. Malah, sekularis mendakwa perlaksanaan hukum Islam akan menafikan hak kenegaraan bagi semua. Ini merupakan penipuan yang jelas.

Malah, ungkapan pemisah kepemimpinan Negara dan kepemimpinan agama adalah tertolak sama sekali. Hujahnya, nabi Muhammad sendiri merupakan pemimpin agama dan pemimpin politik bersandarkan nas hadis seperti:

وَمَنْ مَاتَ وَلَيْسَ فِي عُنُقِهِ بَيْعَةٌ مَاتَ مَيْتَةً جَاهِلِيَّةً

(Riwayat Muslim, kitab al-Imarah, Bab wujub mulazamah jama’ah al-Muslimin, 3433.)

Maksudnya: Sabda Rasulullah s.a.w.: Barangsiapa bertemu Allah dan tiada pada tengkoknya sebarang baiah bagi pemimpin, dia telah mati dengan kematian jahiliyyah.

Bahkan, banyak ayat al-Qur’an menyebut mengenai politik dan tanpa syak politik adalah sebahagian dari Islam. Ayat-ayat al-Qur’an mengenai politik seperti kedaulatan syariah (al-Qur’an, Surah Yusuf 12: 40, 4: 65:, 5: 44), prinsip syura (al-Qur’an, surah al-Nisa’ 4: 159, 42: 38), prinsip keadilan (al-Qur’an, surah al-Nisa’ 4: 58, 5: 8, 57: 25), prinsip kebebasan bersuara dan pendapat (al-Qur’an, surah al-Naml 27: 64, 16: 125, 10: 99), prinsip persamaan (al-Qur’an, Surah al-Hujurat 49: 13) dan tanggungjawab pemimpin (al-Qur’an, Surah Ali Imran 3: 104).

Islam telah sempurna dan diredhai Ilahi. Amat buruklah rupa Sekularis dan Liberalis yang ingin mengubah wajah Islam kepada wajah Liberal dan Sekular. Bahkan, sepatutnya seorang Muslim mencantikkan perlembagaan negara dan perundangan negara ke arah wajah Islamik yang lebih cantik, molek dan diredhai Allah. Hidup dalam citra Islam lebih baik dari hidup dalam kesesatan ideologi manusia yang sekular dan liberal.

SIKAP MUSLIM ADALAH MENERIMA KETETAPAN ALLAH DAN RASUL-NYA YANG MERUPAKAN KATA PEMUTUS

Islam menjawab kepada golongan liberalis bahawa Islam menyeru Muslim menerima ketetapan Islam bukan ketetapan liberalism. Seruan Islam kedapatan dalam Al-Qur’an yang menjelaskan bahawa ketetapan Allah dan Rasul-Nya adalah paling asas yang patut diterima oleh umat Islam berbanding ketetapan selain darinya. Firman Allah s.w.t.:

وما كان لمؤمن ولا مؤمنة إذا قضى الله ورسوله أمرا أن يكون لهم الخيرة من أمرهم ومن يعص الله ورسوله فقد ضل ضلالا مبينا

(QS al-Ahzab 33: 36)

Maksudnya: “Dan tidaklah harus bagi orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan – apabila Allah dan RasulNya menetapkan keputusan mengenai sesuatu perkara – (tidaklah harus mereka) mempunyai hak memilih ketetapan sendiri mengenai urusan mereka. Dan sesiapa yang tidak taat kepada hukum Allah dan RasulNya maka sesungguhnya ia telah sesat dengan kesesatan yang jelas nyata”.

Ayat ini menjelaskan bahawa mustahil diterima akal jikalau seorang yang beriman meninggalkan arahan Allah dan Rasul-Nya dan beralih kepada menerima akal semata-mata. Bahkan, tidak patut bagi seseorang beriman mengingkari arahan Allah dan Rasul-Nya dan memilih ketetapan Allah dan Rasul-Nya. Begitu juga, wajiblah ke atas seseorang beriman menerima dan mengikuti arahan Allah dan Rasul-Nya kerana ia merupakan ketetapan Allah dan Rasul-nya bukan dari nafsu.

Penerimaan akal dan menolak ajaran Islam adalah merupakan intipati ajaran liberalisme dan dakyah Barat terhadap umat Islam. Bahkan, serangan liberalisasi Barat terhadap umat Islam membabitkan ketenteraan, politik, sosial dan pengetahuan. Malah, penjajahan Barat meninggalkan kesan terhadap Negara Arab dengan memilih liberalist sebagai pemimpin utama negara Arab. Justeru, Liberal John Lock diperkenalkan di Mesir, dan di Turki pula berlaku pemaksaan sistem Sekular walaupun bangsa Turki sebenarnya mempertahankan agama Islam dan hukum-hakam syarak. Namun, gerakan liberalisasi ini telah menemui kegagalannya di dunia Islam termasuklah dunia Arab sebagaimana gerakan liberal di tanah Arab telah gagal memajukan Negara Arab setanding dengan bangsa Eropah dari sudut sains dan teknologi.

ISLAM ADALAH BERSANDARKAN NAS SYARAK BUKAN MAQASID DAN BUKAN ISLAMISASI

Hendaklah para pemikir Islam memahami bahawa taraf maqasid adalah sama dengan qawaid fiqh. Maqasid tidak mencapai taraf pendalilan yang disepakati Ahli Sunnah Wal Jamaah (ASWJ). Pendalilan disepakati hanyalah empat iaitu al-Quran, sunnah, ijmak dan qias.

Maqasid bukan pendalilan tetapi pemudah memahami hukum seperti qawaid fiqh. Pastilah seperti qawaid fiqh, hukum umum maqasid adalah kaedah umum yang boleh diguna pakai dalam beberapa hukum dan terkeluar darinya beberapa hukum.

Terkeluar darinya beberapa hukum dinamakan istithna’at. Hukum terkeluar dari kaedah kerana terdapat nas mensabitkannya yang tak terikut kaedah umum. Contoh: keadilan sesama manusia adalah maqasid syarak. Diyat adalah antara ithna’at kerana terdapat nas sebut harga diyyat tak sama antara muslim dan non-muslim, merdeka dan hamba, lelaki dan perempuan.

Hal ini tidak difahami oleh golongan liberalis yang sering menjadikan maqasid sebagai pendalilan. Malah, maqasid bagi mereka boleh mencabar nas. Mereka berhujah dengan maslahah dan mafsadah. Padahal kaedah maslahah dan maslahah tidak disepakati oleh ilmuan umat Islam.

Mazhab Hanafi menggunakan istihsan. Namun, Imam al-Syafei membantah dan mengguna pakai masalih mursalah. Walau bagaimanapun, Mazhab Hanafi dan mazhab Syafii tidak meletakkan kaedah maslahah sebagai pendalilan utama. Hanya mazhab Muktazilah sahaja meletakkan kaedah maslahah sebagai asas keempat dalam mazhab Muktazilah.

Justeru, kalau letak maqasid dalam pendalilan, ia sudah menghampiri cara muktazilah. Begitu juga, Majlis Fatwa Kebangsaan turut mengingatkan kaedah sebenar meletakkan hukum syarak adalah melalui istinbat. Namun, golongan Islam Liberal menolaknya dan letakkan hukum melalui kaedah maqasid.

Masalah ahli akademik Islam sekarang adalah mereka mengaji falsafah tetapi tidak mengaji usul fekah. Jadi, pemikiran mereka tampak teraba-raba. Bila mengaji falsafah dan usul fekah, nas al-Quran dan hadis pula tak nampak. Bila mereka melihat nas, mereka melihat maqasidnya sahaja. Jadi Islam pandangannya hanya kulit bukan isi.

Justeru, hendaklah memahami Islam melalui nas yang merupakan risalah Allah bukan melalui maqasid. Hujahnya adalah firman Allah:

وما كنا معذبين حتى نبعث رسولا

(QS al-Isra’ 17:15)

Maksudnya: Tidaklah kami mengazab sehingga (jelas) kami bangkitkan para Rasul.

Ayat ini bermaksud bahawa pengetahuan Islam adalah melalui nas iaitu dari mulut nabi jadilah kewajiban yang patut orang Islam lakukan. Bukan melalui maqasid. Justeru, kena mulakan dari nas. Kemudian kena belajar hukum usul fekah. Supaya dapat istinbat dengan baik. Bukan cara short cut dengan maqasid sahaja.

Begitu juga pemikiran adalah melalui istinbat. Malah, berfikir menghasilkan ilmu sains dan teknologi pun, kena faham fekahnya iaitu berfikir pada sesuatu yang diharuskan syarak. Orang dalam bidang sains dan teknologi hanya perlu tahu kajian dan pemikirannya adalah pada sesuatu yang diharuskan syarak. Itu sahaja. Tak perlu tahu maqasid dan tak perlu sampai nak mengislamisasikan ilmu.

Cukuplah seorang saintis, ekonomis, bisnesman, profesional dan lain-lain mengetahui tugasannya adalah pada lingkungan harus. Tidak perlu menunggu sehingga ilmu itu diislamkan atau menurut maqasid atau tidak. Rasionalnya, hukum-hakam syariat dalam kehidupan manusia adalah berpandukan pendalilan syarak semata-mata. Bukan islamisasi dan bukan maqasidisme.

Pengajian falsafah pun perlu melihat berdasarkan sesuatu yang diizinkan syarak dan hendaklah tidak bercanggah syarak. Bukan mengislam falsafah sehingga falsafah tersebut dinamakan falsafah Islam. Cukuplah dinamakan falsafah Islam adalah falsafah yang menggunakan istinbat nas, keharusan syarak dan tidak bercanggah dari agama. Bukannya dinamakan falsafah Islam sebab islamisasi dan maqasid.

Cukuplah menjadi seorang Muslim yang baik apabila mendengar arahan Ilahi, dia memilih arahan tersebut tanpa syak wasangka. Bukanlah seorang Muslim yang baik apabila mendengar arahan Ilahi, dia meletakkan pelbagai dalih untuk memilih pandangan yang bercanggah dari arahan syarak.

MAQASID SHAR’IYYAH KEDAPATAN DARI NAS TETAPI DISALAH ERTI

Islam mengajar bahawa sememangnya Maqasid Shar’iyyah terdapat dalam nas al-Qur’an dan al-Sunnah. Maqasid Shar’iyyah yang bermaksud tujuan syarak adalah kedapatan dalam ayat-ayat al-Qur’an. Contohnya, arahan sembahyang mempunyai tujuan mengingati Allah s.w.t.:

إِنَّ الصَّلاةَ تَنْهَى عَنِ الْفَحْشَاءِ وَالْمُنْكَرِ وَلَذِكْرُ اللَّهِ أَكْبَرُ وَاللَّهُ يَعْلَمُ مَا تَصْنَعُونَ

(QS al-Ankabut 29: 45)

Maksudnya: Dan dirikanlah sembahyang (dengan tekun); sesungguhnya sembahyang itu mencegah dari perbuatan yang keji dan mungkar; dan sesungguhnya mengingati Allah adalah lebih besar (faedahnya dan kesannya); dan (ingatlah) Allah mengetahui akan apa yang kamu kerjakan.

Ayat ini menyebut antara perlaksanaan syariat terpenting adalah sembahyang. Ia merupakan rukun terpenting dari semua amalan yang diwajibkan. Amalan-amalan yang diajar dalam agama Islam adalah bertujuan menyusun kehidupan dari asas dan prinsip pembinaan sehingga menyelesaikan keperluan kehidupan muslim. Oleh demikian, barangsiapa menyempurnakan sembahyang pasti menambahkan keimanan, membina ketakwaan dan melenyapkan kejahatan. Malah, sembahyang dapat melarangnya dari kekejian dan kemungkaran. Ini membuktikan bahawa keseluruhan ajaran agama Islam mempunyai tujuan bagi orang-orang yang beriman yang dinamakan Maqasid Shar’iyyah.

Maqasid Shar’iyyah juga merupakan kaedah usul fiqah moden dengan mengetengahkan kaedah umum agar dapat melihat sebab pensyariatan. Namun, pandangan sebeginilah disokong oleh golongan Liberalis dan mereka telah menggunakannya dengan secara meluas hampir semua bidang sehingga menafikan nas dan hukum syarak. Golongan ini menggunakan ‛Maqasid Shar’iyyah’ untuk menolak syariat Islam. Mereka menyangka mengambil peduli ‛Maqasid Shar’iyyah’ dan roh agama tetapi melupakan nas-nas al-Qur’an dan Sunnah yang sahih dengan mendakwa agama adalah inti bukan bentuk, dan hakikat bukan rupa. Mereka adalah penyeru kepada tajdid sedangkan pada hakikatnya adalah penyeru fahaman Barat dan menentang perlaksanaan syariat.

ANTARA NAS DAN MAQASID ADALAH ANTARA HUKUM KHUSUS/JUZ’IYYAT DAN HUKUM UMUM/KULLIYYAT

Antara permasalahan golongan Muslim dalam abad 20 dan 21 adalah sibuk mempelajari maqasid syariah dan meninggalkan pembelajaran usul fekah. Ilmu maqasid perlu dipelajari bersama usul fekah agar tidak teraba-raba dalam memahami ilmu.

Saya telah meneliti ilmu maqasid secara intensif sejak 2012. Saya menyimpulkan ada dua perkara yang saya tidak setuju idea para penulis maqasid syariah iaitu:

Pertama, ilmu maqasid dicadangkan dipisahkan dari ilmu fekah.

Kedua, keutamaan maqasid dibuka seluas-luasnya dalam bidang politik. Pandangan ini membuka ruang kepada liberal untuk menghijack ilmu maqasid dengan syariat Islam tanpa sempadan sehingga boleh mengenepikan hukum-hakam Islam dan menolak nas syarak.

Perlu difahami bahawa hukum umum masih dalam kerangka zanniyyat seperti ilmu qawaid fiqh. Apabila maqasid yang umum bercanggah dengan nas yang juz’iyyat, para ulama meletakkan juz’iyyat adalah lebih kuat hujahnya kerana hukum umum dikira zanniyyat. Jikalau kedapatan nas yang mengkhususkan dan mengecualikan hukum umum, nas yang khusus ini adalah terpakai.

Justeru, saya menjawab persoalan yang ditujukan kepada saya: Menjadi masalah dalam pemikiran maqasid adalah pembukaan seluas-luasnya ilmu maqasid dan penutupan kelebihan nas dalam segala tindak tanduk muslim. Seterusnya menjadikan asas berpolitik adalah maslahah bukan nas yang akhirnya pengamalnya adalah pragmatis bukan penegak agama.

Padahal, arahan Allah adalah jelas menjadikan manusia sebagai hamba yang tunduk, patuh dan sujud segala arahan Ilahi. Begitu juga, tidak halal jikalau kedapatan arahan nas syarak dalam bidang politik, seorang Muslim memilih maslahah dan mengenepikan agama dan arahan syarak. Adakah sebagai hamba Allah hendak meletakkan syarat maslahah agar menjalankan perintah Allah? Perhatikan firman Allah:

وَإِن يَكُن لَّهُمُ الْحَقُّ يَأْتُوا إِلَيْهِ مُذْعِنِينَأَفِي قُلُوبِهِم مَّرَضٌ أَمِ ارْتَابُوا أَمْ يَخَافُونَ أَن يَحِيفَ اللَّهُ عَلَيْهِمْ وَرَسُولُهُ بَلْ أُوْلَئِكَ هُمُ الظَّالِمُونَ

(QS al-Nuur 24: 49-50)

Maksudnya: Dan (sebaliknya) jika keputusan itu memberi hak kepada mereka, mereka segera datang kepadanya dengan tunduk taat (menerima hukumnya). (Mengapa mereka bersikap demikian), adakah kerana hati mereka mengandungi penyakit (kufur), atau kerana mereka ragu-ragu (terhadap kebenaran hukuman), ataupun kerana mereka takut bahawa Allah dan RasulNya akan berlaku zalim kepada mereka? (Allah dan RasulNya tidak sekali-kali akan berlaku zalim) bahkan merekalah sendiri orang-orang yang zalim (disebabkan keraguan dan kekufuran mereka).

BERHUKUMLAH DENGAN SESUATU YANG DITURUNKAN ALLAH, USAHLAH TERIKUT DENGAN NAFSU DAN KEINGINAN NON-MUSLIM

Islam mempunyai prinsip dan kandungan yang sempurna. Hukum-hakam kedapatan dalam agama Islam adalah datang dari Allah mempunyai kaedah pemahaman yang tersendiri yang diambil dari nas bukanlah diambil dari pemikiran Ateis Liberalis mahupun diambil dari Sekularis Liberalis. Firman Allah s.w.t.:

فَاحْكُم بَيْنَهُم بِمَا أَنزَلَ اللَّهُ وَلَا تَتَّبِعْ أَهْوَاءَهُمْ عَمَّا جَاءَكَ مِنَ الْحَقِّ لِكُلٍّ جَعَلْنَا مِنكُمْ شِرْعَةً وَمِنْهَاجًا

(QS al-Ma’idah 5: 48)

Maksudnya: Dan hendaklah engkau menjalankan hukum di antara mereka dengan apa yang telah diturunkan oleh Allah dan janganlah engkau menurut kehendak hawa nafsu mereka, dan berjaga-jagalah supaya mereka tidak memesongkanmu dari sesuatu hukum yang telah diturunkan oleh Allah kepadamu. Bagi tiap-tiap umat yang ada di antara kamu, Kami jadikan (tetapkan) suatu Syariat dan jalan ugama (yang wajib diikuti oleh masing-masing).

Ayat ini menyebut arahan Ilahi agar melaksanakan hukum yang telah diturunkan bersesuaian dengan agama masing-masing kerana setiap umat mempunyai perundangan dan cara yang jelas mereka amalkan. Malah, hendaklah kita menjauhi kehendak yang menjauhi dari kebenaran yang Allah ajarkan. Oleh itu, arahan ini merupakan arahan umum terhadap semua bangsa selagi tiada pembatalan.

Agama Islam merupakan pembatalan terhadap agama sebelumnya. Malah, Islam adalah cara kehidupan lengkap yang menafikan ideologi-ideologi selain Islam seperti Kapitalisme, Sosialisme, Komunisme, dan Existenalisme. Islam adalah agama kebenaran yang mengajak semua kehendak manusia kepada satu kehendak iaitu kehendak Ilahi agar kehendak manusia hanya merujuk kepada kehendak Ilahi bukan merujuk kepada perbezaan dan perbalahan kehendak manusia.

Namun, Liberalisme anutan beberapa sarjana Muslim pula mempertikaikan sumber hukum dan segala hukum hakam syariah. Islam Liberal mengamalkan sikap kritis yang melampau terhadap turath (al-Qur’an, al-Sunnah dan karya fekah klasik). Mereka mengatakan berpegang kepada turath akan menyebabkan kelemahan intelektual dan material umat Islam. Mereka berhujah bahawa penolakan warisan turath adalah kecenderungan terhadap ijtihad terawal, monopoli dan bersikap authoritarian ulama, pro-Arabian, bersikap diskriminasi wanita, penindasan terhadap bukan Islam, mempunyai elemen fundamentalis dan bersikap fanatik, menisbahkannya dengan kejahilan tanpa menggunakan akal dan ketinggalan zaman.

Golongan Islam Liberal meletakkan wajah buruk terhadap syariat Islam. Islam Liberal menggambarkan dua pilihan antara Barat yang moden dan agama yang dilihat kolot. Malah, Jaringan Islam Liberal mendakwa bahawa ilmu fiqih menyebabkan pemikiran radikal dan fundamentalis dalam isu muslim dan non-Muslim. Mereka turut menyelar syariat Islam yang didakwa lengkap dan penyelesai segala masalah adalah bentuk kemalasan berfikir dan lari daripada masalah.

Golongan Islam Liberal juga berhujah bahawa syariat Islam bercanggah daripada undang-undang antarabangsa lebih-lebih lagi berkaitan hak asasi manusia yang digariskan oleh Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB). Malah, mereka mengatakan syariat adalah tidak sesuai dan tidak adil dalam masyarakat majmuk, agama merupakan urusan peribadi dan perlu dipisahkan daripada sistem bernegara. Justeru, golongan liberal mengatakan agenda perubahan dan modenisasi adalah sangat perlu dengan mengubah ajaran Islam. Golongan Islam Liberal juga mahu membuang syariah dengan membuka pintu ijtihad.

Oleh demikian, hendaklah kita memahami apakah argumen dan penghujahan yang selalu musuh Islam gunakan untuk mempertikaikan Islam. Janganlah, seseorang Muslim memanjangkan lidah menyambung seruan liberalisme menentang perjuangan Syariat Islam. Sepatutnya, sebagai seorang Muslim, seorang terpelajar, memahami al-Qur’an dan hadis perlulah menyambung lidah perjuangan para Rasul yang menyebut makna ayat di atas ”Dan hendaklah engkau menjalankan hukum di antara mereka dengan apa yang telah diturunkan oleh Allah dan janganlah engkau menurut kehendak hawa nafsu mereka, dan berjaga-jagalah supaya mereka tidak memesongkanmu dari sesuatu hukum yang telah diturunkan oleh Allah kepadamu”.

KELEBIHAN PARA ULAMA ADALAH PADA IJTIHADNYA

Para ulama adalah golongan yang arif mengenai agama. Mereka sangat memahami selok belok untuk berijtihad. Justeru, sesiapa yang tidak sampai tahap mujtahid, perlulah mengambil panduan dan bertanya kepada yang arif. Firman Allah:

فَاسْأَلُوا أَهْلَ الذِّكْرِ إِنْ كُنْتُمْ لَا تَعْلَمُونَ

(QS al-Anbiya’ 21: 7)

 Maksudnya: Maka bertanyalah kamu kepada Ahlu Zikri jika kamu tidak mengetahui.

Malah, ijtihad orang awam adalah tertolak berdasarkan dua ayat al-Qur’an iaitu:

وَلاَ تَقْفُ مَا لَيْسَ لَكَ بِهِ عِلْمٌ

(QS al-Isra’ 17: 36)

Maksudnya: Dan janganlah engkau mengikut apa yang engkau tidak mempunyai pengetahuan mengenainya. Maka seseorang muslim tidak harus mengelurkan pendapat pada hukum-hakam terutamanya pada perkara yang tidak diketahui.

أَن تَقُولُواْ عَلَى اللّهِ مَا لاَ تَعْلَمُونَ

(QS al-A’raf 7: 33):

Maksudnya: Dan (diharamkanNya) kamu memperkatakan terhadap Allah sesuatu yang kamu tidak mengetahuinya.

Berbanding dengan golongan liberal yang membuka seluas-luasnya kepada orang awam untuk berijtihad dan menolak kebolehan ulama berijtihad. Ini merupakan prinsip golongan liberal yang bercanggah benar daripada pandangan Islam. Manakala, Islam membenarkan ulama berijtihad tetapi golongan liberal memandang negatif ijtihad ulama. Begitu juga, Islam menolak ijtihad orang awam dalam cabang agama tetapi golongan liberal membuka seluas-luasnya kepada orang awam berijtihad. Malah, prinsip-prinsip wacana Islam Liberal adalah bebas berijtihad dan menolak autoriti ulama.

Dalam Islam, kedudukan ulama seiring dengan pemerintah kerana kedua-duanya iaitu ulama dan pemerintah adalah diiktiraf oleh al-Qur’an sebagai sumber arahan. Tetapi golongan liberal menolak kepimpinan dan autoriti ulama.

Sungguh bercanggah!!! Islam memberi autoriti kepada ulama untuk mengeluarkan arahan berdasarkan kefahaman nas tetapi golongan liberal sentiasa menolak autoriti ulama. Malah, golongan Islam Liberal melihat autoriti ulama hanya akan memberi kesan negatif. Mereka mengatakan golongan ulama akan memonopoli kebenaran dan menghukum pandangan orang lain. Golongan liberal sememangnya benar-benar mencabar Islam dan syariat Allah.

ISLAM MEMPERTAHANKAN KESATUAN BANGSA MANUSIA BUKAN MENGANGKAT SIKAP EMANSIPANSI

Islam menyeru manusia seluruhnya agar bersatu atas nama kebaikan Islam bukan bersatu atas sikap perbezaan dan emansipansi. Firman Allah s.w.t.:

يَا أَيُّهَا النَّاسُ إِنَّا خَلَقْنَاكُم مِّن ذَكَرٍ وَأُنثَىٰ وَجَعَلْنَاكُمْ شُعُوبًا وَقَبَائِلَ لِتَعَارَفُوا إِنَّ أَكْرَمَكُمْ عِندَ اللَّهِ أَتْقَاكُمْ إِنَّ اللَّهَ عَلِيمٌ خَبِيرٌ

(QS al-Hujurat 49: 13)

Maksudnya: Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih taqwanya di antara kamu, (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Mendalam PengetahuanNya (akan keadaan dan amalan kamu).

Ayat di atas menyebut secara jelas bahawa tiadalah seseorang mempunyai kelebihan hanya disebabkan keturunan, puak, bangsa dan gender. Kelebihan dan kemulian hanya diukur di sisi Allah adalah nilai ketakwaan yang dimiliki oleh seseorang. Malah tujuan penciptaan yang berbeza-beza pada latar belakang manusia adalah untuk kenal mengenali dan bersepakat. Oleh demikian, segala sebab yang lain adalah tertolak seperti diskriminasi, perpecahan, pertelingkahan dan perbalahan.

Diskriminasi dan pertelingkahan ini sering dijadikan sasaran gerakan liberal bagi pembebasan wanita di dunia Islam. Kesan liberal terhadap wanita Arab adalah lebih besar dan ketara. Ia juga menunjukkan kegagalan liberalis mengenal perbezaan antara lelaki dan wanita iaitu fitrah dan peranan. Manakala, tren aliran Islam Liberal di Barat memperjuangkan wanita pula menggelarkan diri mereka sebagai Feminis Muslim. Mereka menolak autoriti agama (ulama) dan mengguna pakai persamaan serta kesetaraan antara semua manusia. Bagi mereka, semua agama bersikap patriaki termasuklah agama Islam adalah dituduh sebagai agama bias gender dalam hukum-hakam Islam.

Antara isu-isu yang diketengahkan mereka adalah asal kejadiaan wanita yang merupakan isu yang diangkat oleh liberalis menentang Kristian. Malah, serangan liberalis terhadap Islam atas dakwaan merendahkan martabat kaum wanita adalah bersandarkan kisah kejadian Hawa daripada tulang rusuk nabi Adam yang merupakan adaptasi daripada Bible dan tidak sehaluan dengan al-Qur’an. Menurut Islam, penciptaan Hawa daripada tulang rusuk Adam bukanlah bermakna merendahkan martabat wanita. Bahkan, ia merupakan simbol bahawa lelaki dan wanita adalah saling lengkap melengkapi.

Semua dakwaan feminisme Muslim tidaklah tepat. Mereka sebenarnya menceduk dari pengalaman Barat menentang agama Kristian. Pengalaman inilah menjadi inspirasi mereka untuk menentang agama Islam yang murni. Dengan menyamakan Islam dengan agama lain, kelemahan agama lain ditempelkan kepada Islam. Sesungguhnya, Islam mengajak kepada kesatuan dan menjauhi dari sikap perpecahan. Islam juga sangat menjaga peranan dan kemaslahatan wanita. Oleh demikian, kedapatan hukum-hakam khusus mengenai wanita yang melibatkan peranannya sebagai seorang anak, ibu, isteri dan mempunyai kedudukan dalam pelbagai profesion.

Penutup

Hendaklah kita sebagai seorang Muslim mempunyai sudut pandang yang kukuh selaras dengan Ahli Sunnah wal Jamaah bukan sudut pandang liberalis yang terpesona dengan ketamadunan Barat. Pemikiran Ahli Sunnah Wal Jamaah terutamanya mazhab al-Ashairah beranggapan baik dan buruk adalah sesuatu perkara yang melibatkan pertanggungan halal dan haram, syurga dan neraka adalah berdasarkan nas dan syarak.

Implikasinya adalah halal tetap halal dan haram tetap haram bukan menjadi seperti liberalis yang mengubah hukum halal dan haram mengikut nafsu dan akal mereka. Golongan yang sanggup menukar ketetapan syarak dengan akal fikiran hanyalah Muktazilah sahaja yang mempunyai kesamaan sudut fikir dengan liberalis. Sudut pandangan mereka adalah tertolak kerana tidak memahami kaedah dan cara fikir menurut ajaran Islam bukan sudut fikir Sekular Liberalis Barat.

Artikel Berkaitan

JOIN THE DISCUSSION

twenty four − 21 =