Ramadhan Dan Konflik Yaman

 

Ramadhan tahun ini sekali lagi disambut dalam keadaan penderitaan di Yaman akibat perang yang berpanjangan di negara itu, akibat kempen ketenteraan yang diketuai oleh negara jirannya, kuasa dunia Arab, Arab Saudi.

Yaman mula diserang oleh negara-negara diketuai Arab Saudi pada Mac tahun lalu, dan perang masih belum ditamatkan, selepas lebih setahun serangan dilancarkan.

Dengan alasan menangani kemaraan pemberontak Houthi yang didakwa disokong oleh Iran, Riyadh dan sekutu memulakan serangan ke atas Yaman, dengan restu dan bantuan kuasa-kuasa besar dunia.

Alasan untuk menyerang Yaman, yakni ancaman Iran, amat mudah diterima banyak pihak, akibat propaganda anti-Iran yang telah berleluasa di seluruh dunia Islam menjadikan isu berkait “ancaman Iran” mudah diterima.

Tetapi apa yang lebih malang ialah perhatian dunia, malah dunia Islam juga, tidak tertumpu pada Yaman sepanjang serangan berlaku.

Walaupun disedari berlaku perang dan krisis kemanusian yang lain di dunia Islam terutama di Syria dan Palestin, kesengsaraan yang berlaku di Yaman seolah-olah terabai daripada perhatian dunia Islam.

Sekitar lapan tahun lalu, pada 2009, perang saudara yang tercetus di Yaman telah mengundang campur tangan daripada Arab Saudi, yang bersama membantu tentera kerajaan Yaman menyerang kedudukan pemberontak Houthi di utara negara itu.

Perang yang berterusan melepasi bulan Ramadan tahun itu berlangsung selama enam bulan, bermula pada bulan Februari 2009, mengakibatkan sekitar 8,000 dilaporkan terkorban dan lebih 200,000 lagi hilang tempat tinggal dan menjadi pelarian di dalam dan luar negara.

Ramadhan tahun 2016 ini sekali lagi menyaksikan rakyat Yaman menjadi mangsa perang, akibat perkiraan politik pihak-pihak yang terlibat, terutama kuasa-kuasa yang bertelagah.

Isu Yaman ini sebenarnya menjadi satu isu yang mendapat perhatian khusus daripada Naib Ketua Kesatuan Ulamak Islam Sedunia, Dato’ Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang, yang telah berperanan mendamaikan pihak-pihak yang berkonflik.

Tahun ini, amat dikesali apabila kelihatan Yaman berdepan dengan serangan gabungan kuasa-kuasa serantau, sedangkan pada masa sama Masjid al-Aqsa di Palestin, dan seluruh wilayah Palestin terus berdepan ancaman Zionis yang semakin kritikal.

Tuan Guru Haji Abdul Hadi, dalam ucapannya di satu program di Shah Alam, Selangor pada 5 Mac, 2016, menyatakan kekesalan beliau terhadap serangan tersebut, yang kelihatan menyusuli ucapan pemimpin Zionis, Benjamin Netanyahu di Kongres Amerika Syarikat.

Netanyahu pada 3 Mac, 2015, dalam ucapan di Kongres AS mengatakan: “Di Asia Barat, Iran kini mendominasi empat ibu negara Arab, Baghdad, Damsyik, Beirut dan Sanaa. Sekiranya tidak disekat, banyak lagi yang akan menyusul.”

Pada 26 Mac, Yaman yang dikatakan telah dikuasai Iran itu diserang oleh gabungan tentera negara-negara Arab.

Banyak laporan muncul mengenai dakwaan pencabulan hak asasi manusia dan berkait undang-undang peperangan yang dilanggar dalam perang di Yaman, tetapi kebanyakannya tenggelam dalam kekecohan isu-isu serantau yang lebih menarik perhatian ramai, termasuk politik dalaman Turki.

Beribu-ribu nyawa orang awam telah terkorban akibat serangan gabungan tentera Arab ke atas Yaman, dengan satu anggaran meletakkan angkanya pada 12,000 nyawa.

Tuan Guru Haji Abdul Hadi sekali lagi melahirkan kekesalannya terhadap apa yang berlaku di Yaman dalam satu tulisan diterbitkan 7 April, 2015.

Tulis beliau: “Sepatutnya apabila berlaku masalah serantau dikumpulkan negara serantau Arab dan bukan Arab, Sunni, Syiah dan Khawarij duduk dalam satu meja. Persoalannya, di manakah peranan OIC kalau tidak mengatasi masalah seperti ini?

“Sangat memalukan negara serantau menjemput bekas penjajahnya datang menjadi imam dan mufti untuk menyelesaikan masalah umat. Lebih memalukan lagi apabila bermesyuarat untuk berperang sesama sendiri.

“Sangat memalukan jika peperangan itu kerana menjaga keselamatan Israel dan kepentingan kuasa besar dan berperang kerana menjadi wakil atau proksi mereka. Berperang dengan duit umat Islam untuk membunuh dan mencederakan diri kita sendiri dengan senjata orang lain yang mengambil kesempatan menjual senjata dengan bayaran yang mereka pula menentukan harganya. Inilah akibat daripada kebodohan kita.”

Perang di Yaman perlu ditangani dengan lebih bijak oleh dunia Islam, dan negara-negara Arab terutamanya, demi untuk tidak memburukkan lagi keadaan dalam dunia Islam yang semakin tertekan dan tercabar dewasa ini.

Oleh : Haris Zalkapli
08 Jun 2016

Artikel Berkaitan

JOIN THE DISCUSSION

forty two + = forty nine