Pengenalan Kesatuan Ulamak Islam Sedunia (KUIS)

Kesatuan Ulamak Islam Sedunia (KUIS) adalah satu NGO Islam bebas yang mengumpulkan alim ulamak dari seluruh dunia Islam termasuk dari negara minoriti Islam. Tujuan penubuhan adalah untuk memelihara identiti agama Islam yang sebenar serta menguruskan isu-isu berkaitan agama tanpa sebarang pengaruh mana-mana kerajaan, puak atau kumpulan.

Penubuhan KUIS adalah bertitik-tolak dari cetusan idea Syeikh Dr Yusof Al-Qardhawi. Beliau melihat peri penting kewujudan sebuah pertubuhan yang menghimpunkan cendekiawan Islam seluruh dunia yang tidak bersifat dipengaruhi mana-mana kuasa politik.

Secara rasminya KUIS dilahirkan pada tarikh 23 Jumadal Akhira 1426H bersamaan 11 Julai 2004M, apabila berjaya menganjurkan persidangan kali pertamanya pada tarikh tersebut. Ia telah didaftarkan secara sah di Dublin, Ireland. Persidangan kali pertama itu telah disertai 300 orang cendekiawan Islam seluruh dunia bertempat di London, England.

Secara umumnya, KUIS adalah sebuah badan yang bersifat :

1. ISLAMIK
2. UNIVERSAL
3. BUKAN KERAJAAN
4. BEBAS
5. AKADEMIK
6. DAKWAH
7. SEDERHANA
8. AKTIVIS

Pada awal penubuhan, KUIS mendaftarkan pusat pentadbirannya di Dublin, Ireland tetapi kini kebanyakan kegiatan utamanya telah beralih di Doha, Qatar. Selain itu juga mempunyai cawangan di Mesir dan Tunisia. Dalam perkembangan terbaru, Majlis Tertinggi KUIS telah meluluskan untuk ditubuhkan cawangan rantau asia tenggara di bawah kelolaan Timbalan Presidennya, Dato’ Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang.

Sebagaimana yang termaktub di dalam perlembagaan KUIS, matlamat penubuhan badan tersebut adalah :

  1. Menjaga identiti umay Islam yang bersifat ummah wasatiyyah.
  2. Mengekang segala ideologi yang merosakkan dan serangan pemikiran terhadap Islam dengan segala wasilah.
  3. Mengumpul kekuatan ummah dari pelbagai mazhab dan kecenderungan.
  4. Menyatukan pendirian alim ulama dari sudur fikrah dan ilmu terhadap isu-isu besar ummah.
  5. Menentang pemikiran melampau dalam agama dan penyelewengan pada takwilan nas al-Quran dan Hadis.
  6. Memperkuatkan roh jatidiri muslim pada individu dan jemaah Islam.
  7. Menetapkan garis kerja ke arah melaksanakan syariah Islam menerusi ijtihad-ijtihad moden yang diiktiraf.


Antara pendekatan yang diambil KUIS
:

1. Penulisan-penulisan ilmiah bagi membetulkan kefahaman dan pendirian mengikut garis panduan Islam serta bagi menyedarkan ummah berkenaan isu-isu penting melibatkan Islam dan orang Islam.

2. Menyampaikan nasihat dengan berhikmah terhadap pemimpin umat Islam agar mereka bersama dengan aspirasi Islam sejagat.

3. Bekerjasama dengan badan-badan yang bermatlamat menjaga kemaslahatan Islam dan orang Islam.

4. Menganjurkan dialog bersama pendokong teori-teori akademik, ideologi-ideologi pemikiran dan kumpulan politik yang berhadapan dengan Islam.

5. Bekerjasama dengan pertubuhan-pertubuhan antarabangsa dan badan-badan bukan kerajaan dari pelbagai bidang agar kesedaran Islam terhadap isu semasa ummah meluas ke serata dunia.

6. Mengadakan persidangan dan seminar membincangkan segala isu yang berkait dengan Islam bagi mencapai satu resolusi yang disepakati bersama.

Keanggotaan KUIS adalah terbuka kepada setiap graduan pengajian Islam dalam apa jua pengkhususan dari serata universiti. Juga kepada mereka yang menceburi bidang Islamik dan mempunyai sumbangan signifikan terhadap perkembangan Islam. Namun, keanggotaan KUIS perlulah terlebih dahulu diluluskan oleh lajnah keanggotaan sebelum dibawa ke Jawatankuasa Tertinggi KUIS selain perlu mendapatkan sokongan dari dua orang anggota sedia ada.

KUIS dipengerusi oleh seorang Presiden yang dipilih secara syura dalam Mesyuarat Agung. Ia dibantu oleh tiga orang timbalan yang dipilih untuk tempoh empat tahun sekali. Kerja-kerja pentadbiran dikendalikan oleh seorang setiausaha Agung yang juga menjadi pengarah sekretariat KUIS.

Sejak daripada awal penubuhan, jawatan Presiden disandang oleh pengasasnya sendiri Syeikh Dr Yusof Al-Qardhawi. Para timbalannya sering bertukar ganti. Oleh kerana matlamat KUIS adalah untuk menghimpunkan umat Islam dari pelbagai lokaliti dan aliran, maka Qardawi seringkali mencadangkan tokoh-tokoh dari pelbagai aliran dan tempat sebagai timbalannya. Antara tokoh yang pernah menjadi timbalannya adalah dari Afrika, Eropah, dan Asia melibatkan Sunni, Syiah dan Ibadhi.

Timbalan-timbalan presiden KUIS terkini adalah Dr Ahmad Raisuni dari Maghribi, Dr Ahmad Khalili bermazhab Ibadhi dari Oman, dan juga Dato’ Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang mewakili umat Islam rantau Asia tenggara. Dato’ Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang adalah orang melayu pertama dipilih sebagai timbalan. Setiausaha Agungnya pula disandang oleh Dr Ali Qurrahdaghi dari Qatar.

Disediakan oleh,

Media_Ettihad_AsiaTenggara_2016

JOIN THE DISCUSSION

+ sixty nine = seventy five