Membina Tamadun Menurut Acuan Allah

Membina Tamadun Menurut Acuan Allah
Oleh: Zulhafeez Ahmad Zahidi

LARUT: Hanya manusia yang mengikut acuan Allah mampu memakmurkan bumi dan menunaikan amanah dengan betul, sekali gus menjadi khalifah penegak agama dan mentadbir dunia dengannya.

Naib Pengerusi Kesatuan Ulamak Sedunia, Dato’ Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang berkata Tamadun Islam membangunkan manusia meliputi roh, jasad dan akal yang berbeza dari kemajuan atau tamadun manusia.

“Allah mengajar umat Islam bermula membangun diri manusia, membangun jasadnya, rohnya, akalnya dengan ilmu wahyu daripada Allah SWT.

“Melengkapkan diri manusia dengan iman, amal yang soleh dan akhlak mulia, barulah manusia itu dapat menunaikan kewajipan di atas muka bumi dengan cara yang betul.

“Jika tidak manusia akan menjalankan tugas dengan tidak betul, merosakkan dunia sahaja, tidak boleh melakukan perkara yang dikehendaki oleh Allah SWT dan diredai-Nya melainkan dengan Islam,” ujar berucap pada Perasmian Madrasah Darussalam, Selama, di sini 14 Februari lalu.

Tegasnya, hanya manusia yang mengikuti acuan Allah mampu memikul amanah tersebut berbanding makhluk lain sebagaimana dinyatakan dalam ayat 72 surah al-Ahzab.

Malah katanya, ia selaras dengan kehendak Allah terhadap kekhalifahan manusia sebagaimana dinyatakan pada ayat 30 surah al-Baqarah.

Jelas Tuan Guru, perkara itu berbeza dengan Tamadun Mesir yang dibanggakan Firaun dengan membina piramid sebagai kota dan kubur mereka.

Menurutnya, begitu juga Tamadun Babylon yang berbangga dengan Taman Tergantung; Tamadun China dengan Tembok Besar, selain Tamadun Rom dan Parsi juga dengan bangunan-bangunan didirikan mereka.

“Orang-orang yang zalim tidak melaksanakan perintah Allah, tidak boleh mencapai janji Allah SWT yang sebenar.

“Maka Allah melahirkan daripada zuriat-zuriat Nabi Ibrahim melalui anaknya Ismail yang dihantar ke Makkah, tempat tiada air kering tanpa tanaman untuk dibangunkan manusia, boleh menjalankan tugas iaitu Rasulullah SAW.

“Dengan mukjizat ilmu iaitu Al-Quran, berbeza dengan mukjizat Nabi-nabi sebelumnya seperti Nabi Nuh dengan Tauratnya, Nabi Ibrahim dikurniakan ketahanan dibakar dalam api, Nabi Musa dengan tongkatnya, Nabi Daud melembutkan besi, Nabi Sulaiman dapat menguasai jin serta selainnya, Nabi Ishak menghidupkan orang mati.

“Adapun Nabi akhir zaman diberikan mukjizat ilmu. Ilmu yang membina manusia dengan hidayah Allah untuk membolehkan manusia menjalankan amanah dengan betul,” terang Tuan Guru kepada hadirin.

Artikel Berkaitan

JOIN THE DISCUSSION

+ thirty eight = forty four