Islam Lebih Luas Daripada Perkataan Agama

Islam Lebih Luas Daripada Perkataan Agama
Oleh: Zulhafeez Ahmad Zahidi

TAIPING: Walaupun manusia ini berbagai kaum, berbagai agama dan berbagai bangsa, mereka mesti hidup bermasyarakat, hidup berhubungan antara satu sama lain, tidak boleh berpisah walaupun berbeza agama dan bangsa.

Menurut Dato’ Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang juga merupakan Naib Ketua Kesatuan Ulamak Sedunia, Islam membawa konsep mengikut Al-Quran yang menyebut manusia adalah satu keluarga, berasal daripada Adam dan Hawa, kemudian daripada Nuh mempunyai tiga orang anak; Sam, Ham dan Yafes.

Beliau berkata demikian pada Sambutan Tahun Baru Cina di Dewan Barida, anjuran Dewan Himpunan Penyokong PAS Pusat (DHPP) dengan kerjasama DHPP Perak, Simpang Empat di sini 14 Februari lalu.

“Dalam Islam ada ajaran agama, ada ajaran yang berkait dengan ideologi, berkaitan dengan politik, ekonomi dan kemasyarakatan, kemungkinan berbeza dengan agama lain dalam perkara tersebut.

“Daripada Sam lahirnya bangsa Eropah dan Yahudi, daripada Ham lahirnya bangsa Afrika dan Yafes lahirnya bangsa Asia seperti kaum India, Cina dan Melayu. Ini adalah sejarah yang diajarkan kepada kami oleh Al-Quran,” ujar beliau memberikan gambaran prinsip Islam di hadapan hadirin.

Namun begitu jelasnya, ada aspek-aspek perlu berhubung seperti sehelai kain yang dipakai dari benang dan kapas.

Terang Presiden PAS itu lagi, kapas mesti ditanam, tanam kapas mesti ada traktor, mesti ada jarum, ada besi, pertanian dan perdagangan untuk sehelai kain dipakai tanpa mengira jenis kaum.

Katanya, tidak mungkin untuk seheali kain yang dipakai hanya melibatkan satu kaum sahaja berkerja sebaliknya mesti melibatkan semua kaum.

Kerana itu ujarnya, ada kaum berniaga, bertani dan mengurus maka hubungan kaum adalah naluri sifat semulajadi manusia. Islam mewajibkan penganutnya menerima hakikat tersebut.

Bagaimanapun menurut Tuan Guru, dalam perkara yang berbeza boleh diberikan hak masing-masing tetapi dalam perkara kerjasama kita berkerjasama.

“Semua kaum perlu makan dan minum, halal dan haram ada beza. Semua kaum perlu pakaian, budaya pakaian berbeza. Begitulah semua urusan ini diurus oleh politik dan ekonomi bukan agama.

“Agama perkara ibadah. Politik dan ekonomi dalam Islam berbeza dengan politik lain dan ekonomi lain. Politik Islam wajib adil pada semua. Hak kepada semua.

“Tuhan beri rezeki, bagi nyawa pada orang baik dan orang jahat, tuhan tidak jadikan orang jahat dicabut nyawa serta merta, tidak. Tuhan bagi rezeki kepada semua orang baik dan orang jahat, kemudian dihukum mengikut amalan masing-masing berdasarkan ajaran Islam,” terangnya untuk membawa kepada semua hadirin memahami konsep Islam sebenar.

Selain itu juga tegasnya, begitulah sekiranya PAS memerintah negara maka perlu memerintah semua kaum yang berbeza agama, berbeza budaya boleh sembahyang mengikut agama masing-masing di rumah ibadat sendiri.

Terang Tuan Guru, Islam tidak membenarkan mengganggu sami dan paderi sebab ajaran Islam di dalam Al-Quran Allah SWT telah menyebut, kalau sekiranya tidak diizin berlakunya pertembungan di antara golongan yang adil dan zalim nescaya dibinasakan rumah-rumah ibadat penganut Yahudi, Kristian, sembahyang dan masjid.

Tambahnya, akan berlaku penentangan agama satu sama lain maka Islam membawa satu pendekatan, Islam memerintah tidak boleh ganggu agama yang lain.

“Dalam masalah agama itu hak masing-masing. Masalah ekonomi dan politik untuk semua. Oleh kerana itu, PAS menentang TPPA kerana TPPA untuk menjaga kepentingan kuasa besar Amerika semata-mata ingin lawan China.

“Menyatukan negeri-negeri kecil, negeri kecil disatukan untuk melawan China. Amerika negara besar, kekayaannya melimpah dan diberikan peluang perniagaan kepada rakyat.

“Orang kaya akan suka, orang berniaga akan suka tetapi bagaimana dengan petani,” ujar Tuan Guru menyatakan pendirian PAS membantah perjanjian TPPA.

Artikel Berkaitan

JOIN THE DISCUSSION

− 1 = one